LCW 2023 bantu promosi Sarawak sebagai 'Bandar Kraf Dunia'

LONDON-- Penyertaan Malaysia pada Minggu Kraf London (LCW) 2023 di bawah naungan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengukuhkan komitmen negara memacu pertumbuhan ekonomi dalam bidang kraf berteraskan ekonomi digital.

Delegasi Sarawak diketuai Premier Sarawak, Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membantu mempromosikan warisan budaya dan reputasi Sarawak sebagai destinasi kraf terkemuka dan kepelbagaian budaya di rantau ini. 

Selain itu, dalam usaha mempromosikan produk Sarawak, acara itu juga menyaksikan Raja Permaisuri Agong dan Premier Sarawak memperkenalkan laman web Saratage, yang dibangunkan dan direka oleh Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Komersial untuk memastikan akses tanpa sempadan kepada warisan dan kraf Sarawak. 

Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak berbesar hati kerana dapat mempamerkan kraf tradisional Sarawak kepada masyarakat antarabangsa pada LCW 2023.

"Acara ini merupakan satu inisiatif yang sejajar dengan usaha Sarawak untuk mempromosikan rantau ini sebagai 'Bandar Kraf Dunia'.

"Naungan Raja Permaisuri Agong telah memberi peluang kepada artis berbakat kita untuk menunjukkan kemahiran mereka dan meningkatkan kesedaran tentang identiti tersendiri Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, melalui usahawan kraf 
warisan budaya sepert pua kumbu, keringkam, tenunan dan kerja manik dapat diketengahkan.

"Kami berhasrat untuk mempamerkan warisan budaya Sarawak yang kaya kepada dunia. 

"Saya percaya acara sebegini akan menjadi platform terbaik untuk artis kami berkongsi cerita mereka dan mempamerkan kemahiran mereka kepada dunia dan pada masa yang sama boleh membantu menjana pendapatan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada ekonomi," ujarnya.

Untuk itu, katanya, pentingnya laman web Saratage yang dibangunkan secara tempatan oleh CENTEXS Commercial untuk membawa Sarawak ke mata dunia melalui platform digital dan akan membuka pasaran baharu untuk usahawan kraf.

"Platform dalam talian akan membolehkan pengguna menemui, mempelajari dan membeli kraf tradisional Sarawak di pasaran dalam talian. 

"Ia adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Sarawak untuk mempromosikan keusahawanan yang berpotensi menjana pendapatan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan," tambahnya.
Next Post Previous Post