Transit dua jalan balak dan jeram berliku, wanita Baram redah rimba belantara untuk menuntut ilmu

LONG LAPUT, Baram— Demi ilmu, anak pedalaman tempuhi perjalanan dari 'Long Kesseh - Lapok - Long Lama - Long Laput' memakan masa bagaikan dari Washington - Dubai - Kuala Lumpur, bezanya cuma kapal terbang mewah dan kereta offroad jalan berlumpur serta sampan menongkah arus.

Namun bagi penduduk pedalaman di kawasan Baram, transit untuk bertukar pengangkutan adalah perkara lumrah sejak sekian lama, memandangkan tidak semua kampung di kawasan itu mempunyai akses jalan raya dan perlu menggunakan alternatif lain melalui sungai.

Keadaan ini menyebabkan penduduk yang mahu pergi ke satu-satu kampung perlu bersiap sedia dari segi mental kerana perjalanan boleh mengambil masa berjam-jam lamanya.

Selain itu, perlu bersiap-sedia menghadapi kemungkinan tiada pengangkutan di tempat transit selain faktor cuaca yang tidak menentu.

Biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran, namun Regina Wan, 40, dari Long Kesseh/Long Nakan tetap meneruskan hasrat menyertai bengkel jahitan di Long Laput, baru-baru ini.

Regina merupakan antara guru pelatih Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Eda Beran cawangan Long Kesseh yang terletak kira-kira empat jam perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4x4WD) dari Miri.

Beliau sanggup menempuh perjalanan yang jauh dan mencabar melalui jalan darat dan sungai untuk sampai ke Long Laput.

“Saya bertolak dari kampung menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan transit di Lapok untuk mencari pengangkutan seterusnya ke Long Lama.”

“Perjalanan mengambil masa sehingga lima jam memandangkan amat sukar untuk mencari pengangkutan dari Lapok ke Long Lama. Justeru saya membawa makanan untuk menghadapi sebarang kelewatan.”

“Jika bernasib baik, mungkin ada pengangkutan terus dari kampung ke Long Lama yang hanya mengambil masa empat jam perjalanan. Dari Long Lama, saya perlu menggunakan perahu untuk sampai ke Long Laput,” katanya kepada Borneo Network.

Regina yang bertugas sebagai guru pelatih sejak 2018 menambah, selain itu kos pengangkutan juga amat tinggi dan tidak menentu kerana ia ditentukan oleh jumlah penumpang pada satu-satu perjalanan.

“Tambang perjalanan sehala dari Long Kesseh ke Lapok misalnya sekitar RM40 hingga RM50 seorang, manakala dari Lapok ke Long Lama RM30. Namun caj dikenakan lebih mahal sekiranya tidak ramai penumpang pada hari itu.”

“Manakala caj pengangkutan perahu dari Long Lama ke Long Laput pula RM10. Jumlah tambang pergi dan balik boleh mencecah RM200,” katanya.

Regina bagaimanapun bersyukur kerana PPDK Eda Beran sentiasa enjaga kebaijikan memastikan beliau bersama pelatih dan peserta dari kampung-kampung yang lain dapat menyertai bengkel tersebut.

“Ini merupakan kali kedua saya menyertai bengkel jahitan di sini dan saya berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang untuk meningkatkan kemahiran kami dalam bidang jahitan,” katanya.

Mujan Anyi, 60, berkata, beliau bersama tiga lagi peserta mengambil masa lebih sejam untuk sampai ke Long Laput menggunakan perahu dari Uma Bawang menyusuri Sungai Baram.

Pengerusi PPDK Eda Beran, Temenggong Elizabeth Deng berkata, bengkel tersebut amat baik untuk mendedahkan para peserta dengan pengetahuan asas menjahit dan teknik jahitan baharu.

Katanya, seramai 33 peserta dari Long Kesseh, Long Pilah, Sungai Dua, Long Teran, Uma Bawang, Long Bemang dan Long Laput menyertai bengkel selama dua hari anjuran PPDK Eda Beran dengan kerjasama Sudan Ajang, pemilik jahitan Snowdrop Craft.

Peserta berpeluang mempelajari menjahit beg berlapik (quilted purse) dan sarung jari oven (oven mitt), menjahit zip dan cara-cara mengendalikan mesin jahit.

“Ini adalah kali kedua kita menganjurkan bengkel jahitan selepas bengkel pertama pada 2019. Tahniah kepada semua peserta yang menunjukkan komitmen tinggi dalam menyiapkan projek jahitan dalam masa yang terhad.”

“Saya berharap, ilmu yang mereka perolehi ini akan dimanfaatkan untuk memahirkan diri dalam jahitan apabila pulang ke PPDK kampung masing-masing,” katanya.
Next Post Previous Post