Lelaki ditangkap bersama syabu dalam bilik hotel bajet

KUCHING-- Seorang lelaki tempatan diberkas bersama dadah jenis syabu di sebuah bilik hotel bajet Jalan Song, di sini pada Sabtu lalu. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditangkap sekitar jam 11 malam di bilik hotel tersebut.

"Hasil pemeriksaan di bilik tersebut telah merampas dua peket plastik lutsinar disyaki syabu dengan berat kasar 6.03 gram. 

"Suspek juga didapati positif methamphetamine," katanya dalam kenyataan.

Tambahnya lagi, anggaran nilai rampasan kesemua dadah RM603.

Tegasnya, suspek direman selama empat hari sehingga 10 Mei 2023 dan ditahan di lokap Balai Polis Tabuan Jaya.

Jelasnya, suspek ditangkap dan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Seksyen 39A(1) ADB 1952 memperuntukan hukuman penjara tidak kurang daripada 2 tahun tetapi tidak lebih daripada 5 tahun dan disebat tidak kurang dari 3 sebatan tetapi tidak lebih daripada 9 sebatan.

"Manakala Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 pula boleh didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada 2 tahun jika sabit kesalahan," ujarnya
Next Post Previous Post