Apa negara boleh buat dengan RM4.5 trilion, jika tak lesap

PUTRAJAYA -- Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan beberapa agensi nasional untuk mencari pihak yang bertanggungjawab menyebabkan negara menanggung kerugian yang dianggarkan RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun disebabkan rasuah dan ketirisan.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, perkara tersebut perlu dipandang serius kerana ia melibatkan nilai integriti di peringkat nasional.

Jika ditelusuri, jumlah RM4.5 trilion bukan sesuatu yang sedikit bagi buat negara terutamanya ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu kini.

Maka, sudah pasti ia menimbulkan kekecewaan dan kekesalan yang besar buat seluruh anggota rakyat.

Sekiranya dibahagikan mengikut 26 tahun ketirisan berkenaan, setiap tahun negara kehilangan sekitar RM173.08 bilion.

Bayangkan, dengan harga hartanah yang melonjak sehingga RM433,430 pada suku pertama tahun 2022, jumlah RM173.08 bilion itu sebenarnya boleh digunakan oleh kerajaan untuk membina 399,423 buah rumah dalam masa setahun kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Itu belum dibandingkan dengan harga hartanah terdahulu yang jauh lebih murah daripada suku tahun 2022, pastinya lebih banyak rumah dapat dibina bagi menampung keperluan rakyat.

Bahkan bukan itu sahaja, dalam aspek pendidikan juga tidak terkecuali. Seperti rakyat sedia maklum, sebanyak RM55.2 bilion telah diperuntukkan kerajaan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada Bajet 2023.

Jika didarabkan dengan anggaran 80 tahun ke atas, jumlah RM55.2 bilion mampu mencapai kadar sekitar RM4.5 trilion.

Apakah maknanya? Kerugian RM4.5 trillion itu hakikatnya bersamaan dengan kehilangan peruntukan pendidikan tersebut bagi jumlah sebanyak 80 tahun ke atas.

Tambah memedihkan, ketirisan berkenaan berlaku dalam tempoh yang cukup singkat iaitu dalam masa 26 tahun.

Bayangkan, jika kehilangan itu tidak berlaku, adakah kita akan dapat melihat golongan pelajar di negara ini mengikat perut mereka demi menuntut ilmu?

Mungkinkah terdapat sebarang gelandangan di jalanan atau golongan berpendapatan rendah (B40) yang terpaksa menyewa rumah kerana harga hartanah yang mencanak naik?

Barah rasuah dan penyelewengan bukan lagi satu perkara yang ringan, semua pihak perlu bersatu padu menentang dan membasminya bermula daripada sekecil-kecil kesalahan.

Sumber: Laporan Sinar Harian Dan Gambar Ihsan Unsplash
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.