Tiada kes tembak menembak,11 ditangkap bergaduh Polis Miri

IPD Miri menafikan dan menegaskan tiada sebarang insiden tembak menembak berlaku di Bandaraya Peranginan itu. 

Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Miri (IPD Miri), ACP Alexson Naga Chabu berkata pihaknya mengesahkan berlaku insiden pergaduhan oleh sekumpulan lelaki pada 14 April 2023 sekitar jam lebih kurang 0015 hours di Vista Perdana Permyjaya Miri. 

"Ekoran daripada pergaduhan yang berlaku di Bistro, mangsa telah melarikan diri dan 
dikejar oleh sekumpulan lelaki yang merupakan rakan kongsi perniagaan mangsa. 

Sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Miri telah bergegas ke tempat kejadian dan telah menangkap kesemua individu yang terlibat secara langsung dalam insiden pergaduhan itu, " katanya. 

Seramai 11 orang lelaki warga tempatan yang berumur dalam lingkungan 19 hingga 40 tahun telah ditahan untuk tujuan siasatan.

" Kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta benda. 

Permohonan reman telah dibuat di Mahkamah Majistret pada 15 April 2023 dan pihak Mahkamah telah meluluskan reman selama (1) hari sahaja ke atas semua suspek yang ditangkap," tegas Naga. 

Pergaduhan tersebut turut dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian dan tular di media sosial manakala terdapat juga spekulasi yang disebarkan bahawa kejadian tembak menembak turut berlaku dalam insiden pergaduhan itu. 

"Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan rakaman pergaduhan tersebut kerana ianya akan mengundang kegusaran kepada masyarakat.

Mana-mana individu yang didapati menularkan video dan gambar pergaduhan tersebut akan diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," tegas Naga.

Tindakan juga boleh diambil di bawah Seksyen 
504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, jika sebarang spekulasi dibuat dengan tujuan untuk mengancam keamanan.

Pihak polis juga ingin menegaskan kepada masyarakat agar tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang. 

"Tiada sesiapa pun dibenarkan dalam undang-undang untuk menggunakan 
kekerasan dan gangsterism dalam menyelesaikan pertelingkahan di antara pihak tanpa mengira latarbelakang mereka.

Pergaduhan ini dapat dielakkan jika semua pihak berfikir secara rasional. Masyarakat diminta memberi ruang kepada pihak polis untuk menyiasat dengan lebih lanjut insiden ini," tambahnya. 

Individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan insiden ini diminta untuk tampil ke Balai Polis yang berdekatan untuk membantu siasatan atau menghubungi Inspektor Zulaikha Binti Mohd Anuar di talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.