Isu Pelabuhan Bintulu diserah semula kepada Sarawak

KUCHING-- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan bahawa satu jawatankuasa ditubuhkan bagi memutuskan keperluan pentadbiran Pelabuhan Bintulu diserahkan kepada Kerajaan Sarawak.

Menurutnya, jawatankuasa itu akan melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.

Jelas Menteri Perladangan dan Komoditi itu, beliau telah menerima surat daripada kerajaan Sarawak berhubung permohonan penyerahan kembali Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan Sarawak

“Kita akan mengadakan mesyuarat di peringkat agensi-agensi Persekutuan berkaitan untuk melihat pandangan mereka dan sebagainya.

“Kemudian akan diwujudkan jawatankuasa antara kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak di peringkat pentadbiran untuk berbincang mengenai penyerahan kuasa berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Solat Isya’ dan Terawih Berjemaah bersama penduduk tempatan di Masjid Darul Ibadah, Kampung Kudei Lama di sini baru-baru ini.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, perbincangan akan dilaksanakan dengan Kementerian Kewangan untuk melihat perincian dan pandangan pihak kerajaan persekutuan sama ada setuju untuk menyerahkan pentadbiran Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak mengikut peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Sebelum ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak akan berbincang dengan kerajaan persekutuan untuk tidak meneruskan status Pelabuhan Bintulu, pelabuhan laut dalam yang terletak kira-kira 626 kilometer utara dari sini, sebagai sebuah pelabuhan persekutuan.

Katanya, langkah itu akan membolehkan pelabuhan tersebut diurus dan dimajukan lagi sebagai pelabuhan negeri sekali gus mengubahnya sebagai hab pengangkutan di rantau Asia Pasifik.

Dalam pada itu, Bintulu Port Holdings Berhad yang diketuai En. Ruslan Bin Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan membuat kunjungan hormat ke pejabat Fadillah baru-baru ini. 

Hadir sama, Pn. Maslihah Binti Hj. Tioh, Pengurus Kanan, Perkhidmatan Korporat Kumpulan dan warga Bintulu Port Holdings Berhad.
Next Post Previous Post