Dato' Dr. Ammar dilantik Ketua Pengarah Tourism Malaysia

PUTRAJAYA, 14 April – Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) mengumumkan pelantikan YBhg. Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia yang baharu berkuat kuasa 12 April 2023.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato' Seri Tiong King Sing (拿督斯里张庆信) telah bersetuju melantik Dato’ Dr. Ammar secara rasmi bagi menggantikan Dato’ Hj. Zainuddin Abdul Wahab yang bersara wajib pada 10 April 2023.

Berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pengajian Hotel dan Pengurusan Pelancongan serta Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dato’ Dr. Ammar sebelum ini merupakan Pengarah Kanan Bahagian Promosi Antarabangsa (Amerika, Eropah dan Oceania).

Beliau yang telah berkhidmat selama 35 tahun dalam perkhidmatan awam, pernah diberikan kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai Pengarah Kanan Pengurusan selain menerajui Bahagian Perancangan Strategik serta Bahagian Domestik & Acara Tourism Malaysia.

Selain pernah dilantik sebagai Pengarah Bahagian Kewangan, beliau turut menjawat jawatan Pengarah Luar Negeri di Osaka dan Moscow, masing-masing pada tahun 1999 dan 2008 serta Pengarah Negeri Tourism Malaysia Kedah/Perlis pada tahun 2005.

Pada tahun 2021, Dato’ Dr. Ammar mengetuai Sekretariat Pasukan Petugas Gelembung Perjalanan bagi memacu usaha pemulihan industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Beliau juga merupakan Profesor Adjung di Fakulti Hotel dan Pengurusan Pelancongan, UiTM sehingga kini.

Tourism Malaysia
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.