Bangunan era Brooke, pusat kebudayaan dan kesenian?

MIRI— Pejabat Residen dan Daerah Miri yang berusia lebih 100 tahun peninggalan British merupakan khazanah berharga yang perlu dipulihara dan dipertahankan untuk tatapan generasi akan datang.

Ia merupakan salah satu pejabat daerah tertua di sini dan dibina pada era James Brooke sejak abad ke-19 dan dibaikpulih oleh British selepas Perang Dunia Kedua. Kewujudan bangunan ini sudah tentu mempunyai keunikan tersendiri selain tarikan kepada Miri yang terkenal sebagai bandar raya minyak.

Terletak di pusat bandar, ia pernah menjadi nadi kepada pentadbiran dan urusan rasmi Miri sejak 1912 sehinggalah semua urusan rasmi dipindahkan ke Kompleks Islam Sarawak pada 8 Mac 2017.

Sejak itu, terdapat cadangan untuk menjadikan bangunan ini sebagai Muzium Sejarah, Kesenian dan Kebudayaan Miri, namun wallahualam status perkembangan terkini tidak diketahui.

Malah Jabatan Muzium Sarawak sebelum ini mahu melakukan kajian terperinci untuk mengubah suai bangunan Pejabat Residen dan Daerah Miri menjadi sebuah muzium untuk menempatkan artifak-artifak penting berkaitan Miri.

Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata amat penting untuk memulihara bangunan ini agar generasi muda di sini lebih mengetahui sejarah mengenai Miri.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing untuk meluluskan peruntukan bagi menaiktaraf bangunan ini sebagai pusat kebudayaan dan kesenian serta destinasi pelancongan yang utama di sini.

“Cadangan dan permohonan peruntukan itu sudah saya kemukakan kepada Pegawai Tugas-tugas Khas Datuk Seri Tiong King Sing iaitu Lim Kai Hau semasa kunjungan ke pejabat kementerian pada minggu lalu.”

“Saya telah memohon kepada Datuk Seri Tiong supaya memberi sokongan dan meluluskan peruntukan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Memandangkan nilai sejarah dan kedudukannya yang strategik di pusat bandar raya, bangunan ini amat berpotensi menjadi satu pusat kebudayaan dan kesenian serta destinasi pelancongan yang utama di Miri, kata Chiew.

Chiew turut memohon MOTAC bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) di bawah Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam menyediakan peruntukan.

“Saya difahamkan MTCP turut mempunyai perancangan menjadikan bangunan ini sebagai bangunan warisan dan muzium bersejarah. Cadangan kertas kerja dan permohonan peruntukan telah dihantar kepada MOTAC untuk diletakkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.”

“Pusat ini jika dapat direalisasikan dapat memberi ruang kepada komuniti tempatan yang mempunyai minat, kemahiran dan kepakaran tertentu untuk mencungkil bakat masing-masing dan menyumbang dalam bidang kebudayaan dan kesenian.”

“Saya percaya bahawa sekiranya usaha-usaha tersebut berjaya direalisasikan, ia akan mencetuskan pembangunan kesenian dan kebudayaan dan seterusnya menjadikan pusat bandaraya Miri menjadi salah satu hub pelancongan warisan dan kebudayaan yang penting di wilayah utara Sarawak,” katanya.
Next Post Previous Post