Pelajar maut, kereta bertembung 4WD di lampu isyarat Batu 11

PADAWAN-- Seorang pelajar lelaki maut, seorang lagi parah selepas kereta yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di lampu isyarat Batu 11, Jalan Kuching-Serian malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam kemalangan sekitar jam 11.40 malam melibatkan kereta Perodua Axia dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) Ford Ranger itu, mangsa yang maut dikenali Alessandro Montawai Mojik, 19, berasal dari Kampung Bengoh. 

"Mangsa yang maut adalah penumpang kereta Axia. Sementara pemandu kereta terbabit juga pelajar lelaki berusia 19 tahun mengalami cedera parah manakala pemandu 4WD, 32, tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut kemalangan itu, Abang Zainal berkata, ia dipercayai berlaku apabila kereta Axia yang datang dari arah Kuching hendak membuat pusingan U di lampu isyarat Batu 11, Jalan Kuching / Serian. 

"Semasa sedang membuat pusingan U dipercayai semasa lampu isyarat masih berwarna merah, tiba-tiba 4WD yang sedang bergerak lurus di lorong kanan jalan dari arah bertentangan dari arah Serian menghala ke arah Kuching melanggar (depan dengan depan) kereta Axia tersebut. 

"Akibat kemalangan tersebut kereta Axia yang dinaiki kedua-dua pelajar tersebut terbabas ke bahu sebelah kiri jalan," katanya. 

Tambahnya, kedua-dua pelajar tersebut kemudiannya dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak. 

Bagaimanapun, katanya, penumpang kereta Axia tersebut disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak pada 26 April 2023 jam 2.51 pagi semasa menerima rawatan lanjut. 

Jelasnya lagi, kemalangan tersebut menyebabkan kedua-dua kenderaan terlibat mengalami kerosakan hampir keseluruhan bahagian hadapan kenderaan dan kerosakkan pelbagai. 

"Semasa kejadian keadaan cuaca baik dan lampu isyarat jalan berfungsi dengan baik.

"Kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," tegasnya.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.