Suara pekebun kecil akan dibawa ke EU - Fadillah

KUALA LUMPUR— Kebimbangan pekebun kecil terhadap kesan serius Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah terhadap mata pencarian mereka dan penduduk luar bandar di Malaysia akan dikemukakan kepada Kesatuan Eropah (EU). 

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sehingga kini, kebimbangan dan tuntutan ini masih belum ditangani secara serius oleh pemimpin EU dan akibatnya nasib serta mata pencarian pekebun kecil Malaysia masih tidak menentu. 

“Oleh itu, kita menggesa EU untuk membetulkan keadaan dengan berkesan dan secepat mungkin.

“Pekebun kecil bergantung kepada eksport minyak sawit, getah dan komoditi pertanian lain untuk menyara keluarga mereka. Namun, Peraturan EUDR merupakan satu halangan perdagangan yang besar bagi pekebun kecil untuk mengakses pasaran Eropah. 

"Ini akan mengakibatkan peningkatan kemiskinan, penurunan pendapatan isi rumah dan menggugat masyarakat luar bandar kita,” katanya dalam kenyataan media hari ini. 

Kenyataan itu susulan tindakan pekebun-pekebun kecil Malaysia semalam yang berkumpul menyuarakan kebinbangan mereka tentang kesan serius Peraturan Penyahhutanan EU terhadap mata pencarian mereka dan penduduk luar bandar di Malaysia. 

Fadillah menambah, beliau dimaklumkan bahawa wakil dari pertubuhan pekebun kecil terkemuka di Malaysia telah menyampaikan gesaan yang menekankan keperluan untuk EU mengambil tindakan untuk menamatkan diskriminasi terhadap pekebun kecil.

Persatuan yang terlibat adalah Persatuan Pekebun Kecil Kebangsaan (NASH), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA), Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak (DOPPA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Pihak Berkuasa Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA).

“Saya mengambil maklum dan akan membawa suara pekebun kecil Malaysia yang berkumpul semalam untuk menyuarakan kebimbangan mereka tentang kesan serius Peraturan Penyahhutanan EU terhadap mata pencarian mereka dan penduduk luar bandar di Malaysia ke Kesatuan Eropah (EU).

Tegas Fadillah, tindakan sedemikian adalah tidak adil dan bertentangan dengan komitmen EU seperti yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG Goals) di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Pekebun kecil berhak dilayan secara adil dan mesti dikecualikan daripada tuntutan
peraturan yang tidak realistik.

“Hasrat Eropah untuk menetapkan Malaysia sebagai ‘Berisiko Tinggi’ di bawah Peraturan ini adalah tidak wajar. Malaysia tidak berisiko tinggi,
pekebun kecil kita tidak berisiko tinggi dan tidak boleh dikategorikan sedemikian.

“Kadar penebangan hutan Malaysia secara relatifnya adalah sifar dan skim pensijilan MSPO membuktikan komitmen kita terhadap piawaian kemampanan yang komprehensif. MSPO mesti diiktiraf oleh EU sebagai laluan kepada pematuhan Peraturan,” katanya.

Katanya, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ibrahim, dan Kementerian Perladangan dan Komoditi komited untuk melindungi, menyokong dan mempertahankan kebajikan serta mata pencarian pekebun kecil Malaysia.
Next Post Previous Post