Sampai bila harap syarikat balak baiki jalan?

MIRI— Pemimpin nombor satu PKR Sarawak mengulangi gesaan agar kerajaan Persekutuan dan Sarawak mengambil alih kerja membaiki kerosakan jalan balak yang menghubungkan kampung di pedalaman.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Sarawak, Roland Engan
berkata, ini kerana setiap kali kerosakan berlaku tanggungjawab itu diserahkan kepada syarikat balak sahaja.

“Kerajaan Malaysia dan Sarawak tidak sepatutnya bergantung dengan syarikat balak. Mereka harus harus membaiki jalan akses ke kampung-kampung pedalaman Sarawak yang terpinggir dari radar pembangunan perdana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mencadangkan agar kerajaan menubuhkan badan khas yang memainkan peranan seperti Lembaga Lebuhraya Pedalaman Sarawak (LLPS) atau seumpamanya untuk membina dan menyelenggara jalan raya ke seluruh kawasan pedalaman Sarawak.

“Badan khas ini boleh mengambil alih jalan balak atau jalan kampung yang sedia ada. Ini sudah tentu memberi manfaat kepada sektor ekonomi, pengangkutan selain perhubungan rakyat di pedalaman dan pesisir pantai,” katanya.

Roland yang merupakan penduduk dari Long Jeeh berkata, beliau bersyukur atas kesediaan syarikat balak Samling untuk membaiki kerosakan jalan balak dan jalan kampung di kawasan itu.

Sementara itu keadaan hujan berterusan beberapa hari di Ulu Baram mengakibatkan kejadian tanah runtuh di Kalai, Batu Tujuh.

Kejadian itu menyebabkan ramai penduduk dari Long Jeeh dan Long Selawan sejak semalam terputus hubungan dengan dunia luar.

Seorang penduduk dari Long Selawan, Wan Egau, 62, berkata dia terpaksa membatalkan temu janji di Miri dan berpatah balik ke rumah kerana keadaan jalan yang tidak dapat dilalui.

Bahagian komunikasi Samling ketika dihubungi berkata, pihaknya akan memulakan kerja-kerja membaiki jalan bermula hari ini.

“Kita sudah menggerakkan pasukan penyelenggaran jalan dan kerja-kerja membaiki bermula hari ini. 

“Samling akan memastikan ia siap secepat mungkin untuk memastikan keselamatan penduduk di kawasan berhampiran,” katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.

Samling turut mengingatkan orang ramai berhati-hati ketika melalui kawasan itu sehingga kerja-kerja membaiki selesai.
Next Post Previous Post