Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma mampu tampung 3,000 jemaah, pelbagai perkhidmatan turut disediakan

KUCHING-- Bangunan baharu Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma yang dibina dengan kos RM17 juta dan mampu 
menampung seramai 3,000 jemaah pada satu-satu masa kini siap sepenuhnya. 

Majlis perasmian bangunan baharu masjid itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof. 

Jelasnya, bangunan baharu masjid ini menggunakan konsep pencahayaan semula jadi dengan mempunyai menara berukuran 99 kaki iaitu kubah yang menyerupai Kubah Masjid Nabawi, yang turut hiasan dalaman kontemporari dan fasiliti moden.

"Selain solat lima waktu, solat jumaat, ceramah dan aktiviti ibadah, Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma menyediakan perkhidmatan Fardhu Kifayah/Rumah Jenazah, Van Jenazah, Melupus Al-Quran, Jurunikah, Keselamatan, Mengajar Al-Quran dan Rumah Jenazah (dalam pembinaan)," katanya pada majlis itu malam ini. 

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pembinaan bangunan baharu ini berjaya dilaksanakan dengan sumbangan dana Kerajaan Negeri Sarawak sebanyak RM8 juta, dana Kerajaan Persekutuan sebanyak RM5 juta dan bakinya dari wakaf serta sumbangan orang ramai.

"Projek pembinaan bangunan masjid baharu ini sepatutnya siap dalam tempoh 18 bulan selepas ia mula dibina pada tahun 2019, tetapi tertangguh akibat penularan pandemik COVID-19," katanya. 

Menurut Ahli Parlimen Petra Jaya itu, sejarah masjid ini bermula dengan Surau Taman Sukma pada 1991 yang mana pada ketika itu bangunan Pejabat Tapak Pembinaan SPPS diubahsuai menjadi surau sementara - yang hanya mampu menampung sekitar 30 jemaah. 

Namun, katanya atas usaha keras ahli Jawatankuasa pada masa itu akhirnya pada 1996 telah diletak batu asas bagi pembinaan bangunan Surau baharu yang mana disempurnakan oleh Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, yang pada ketika itu Menteri Perindustrian. 

"Ia siap dibina pada akhir tahun 1999 dan mampu menampung 300 jemaah dan diberi nama Surau Ikhwanul Islam Taman Sukma.

"Pada November 2004 ia dinaik taraf menjadi Masjid, namun hanya dibenarkan mendirikan Solat Jumaat setahun setengah kemudian," ujarnya. 

Pada 2006 Fadillah telah mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pembangunan bagi memperbesarkan masjid berkenaan. 

Pada 2016, beliau mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pembinaan bagi membina bangunan baharu sehingga lulusnya pembinaan Masjid Ikhwanul Islam 
Taman Sukma di atas tanah Lot 1070 (sebelumnya masjid terletak di Lot 4324).

Pada 4 Mac lalu, Masjid Ikhwanul Islam Taman Sukma mula digunakan dengan jemaah menunaikan solat Maghrib dan Isyak bersama Fadillah dan Yang 
Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha.
Next Post Previous Post