Pastikan semua pili bomba berfungsi dengan baik - Violet Yong

KUCHING-- Semua pili bomba di semua kawasan harus berfungsi dengan baik supaya risiko dan kehilangan harta benda dapat dikurangkan sekiranya berlaku kebakaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Tindakan Demoktratik (DAP) Pending, Violet Yong berkata, pengajaran dan iktibar perlu diambim ketika kebakaran berlaku di Pasar Lama Batu 3 pada November tahun lepas.

Menurutnya, usaha memadam kebakaran itu mengambil masa yang agak lama disebabkan pili bomba tersembunyi di bawah tanah dan tidak dapat ditemui.

"Oleh itu, sebagai maklum balas kepada aduan orang ramai mengenai isu ini saya telah melawat lokasi lebih awal untuk memahami isu ini secara peribadi dan seterusnya memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya selepas meninjau pili bomba di Pasar Lama Batu 3 bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak di sini, semalam.

Katanya, apabila pili bomba disembunyikan di bawah tanah dan tidak mempunyai bertanda merah seperti pili bomba biasa, adalah sukar bagi anggota bomba untuk mengesannya apabila kebakaran berlaku.

"Oleh itu, atas permintaan saya, pihak bomba telah bersetuju untuk menaik taraf pili bomba gaya lama sedia ada yang tersembunyi di bawah tanah kepada pili bomba merah biasa. 

"Menaik taraf pili bomba telah dimasukkan dalam senarai projek bomba dan dijangka dijalankan pada pertengahan tahun ini," ujarnya.

Dalam lawatan semalam, pasukan bomba telah menjalankan pemeriksaan dan untuk lebih memahami masalah serta menjalankan ujian kefungsian pili bomba di sekitar Bazaar Batu Tiga.

Pada masa ini, kesemua tujuh pili bomba dalam kawasan bazar tersebut berada dalam keadaan baik. 

Violet turut berharap bomba dapat menjalankan pemeriksaan berkala terhadap pili bomba di semua kawasan bagi memastikan ia berfungsi dengan baik semasa kecemasan.
Next Post Previous Post