Pekerja ladang sawit dijumpai mati dipercayai dibunuh di Lundu

LUNDU-- Seorang pekerja ladang sawit dijumpai mati dipercayai dibunuh di kawasan jalan raya di sebuah ladang sawit di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin berkata, mangsa berusia 25 tahun berasal dari Kampung Senibong, Lundu dijumpai sekitar jam 10.10 malam.

"Penyelia ladang terbabit telah menghubungi pihak polis dan memberitahu bahawa seorang pekerja ladang telah dijumpai terbaring di atas jalan raya ladang dipercayai dipukul dengan menggunakan objek senjata tajam. 

"Kejadian dipercayai berpunca daripada bergaduh dengan orang luar yang masuk ke kawasan ladang," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, mangsa mengalami kesan koyak, lebam dan berdarah di bahagian muka dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

"Semasa dijumpai, mangsa dalam keadaan terbaring menggunakan baju-T warna hitam dan seluar pendek paras lutut bewarna biru muda dengan kesan muka lebam dan berdarah.

"Hasil maklumat awal, punca kejadian dipercayai mangsa telah bergaduh dan dipukul dengan menggunakan objek tumpul," jelasnya.

Tambah Damataries, menurut salah seorang saksi kejadian yang merupakan pengawal ladang, pada 10 Mac 2023 sekitar jam 9.20 malam, pengawal mengatakan mangsa datang ke pondok pengawal memberitahu mahu berjumpa adiknya di hadapan pintu pagar pondok pengawal.

"Lebih kurang 10 minit mangsa menunggu di pondok pengawal, datang sebuah kereta Perodua Bezza warna perak menghampiri pondok pengawal dengan keadaan berundur dan berhenti di tepi jalan (jarak lebih kurang 100 meter dari pondok pengawal). 

"Mangsa pun bergerak dari pondok pengawal ke arah kenderaan.

"Lebih kurang 5 minit kemudiannya, saksi nampak mangsa berlari ke arah pondok pengawal sambil dikejar suspek.

"Sampai di pagar hadapan pondok pengawal, mangsa rebah tertiarap di atas jalan. Melihat mangsa rebah tertiarap, suspek terus melarikan diri," katanya.

Menurutnya fizikal suspek seorang yang berbadan kurus, tinggi, berkulit cerah dan menggunakan baju warna kelabu.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Daerah Lundu untuk proses bedah siasat punca kematian.

Katanya, pasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Lundu yang diketuai oleh Inspektor Muhammad Hafizin Harun dan pegawai Cawangan D9 dan Forensik JSJ IPK Sarawak telah pergi ke tempat kejadian.

"Perkembangan kes akan dilapor dari masa ke semasa.

"Kes masih dalam siasatan untuk mengesan suspek utama," tegasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Next Post Previous Post