Edar dadah sejak 2021, Polis Sarawak tahan lelaki bersama syabu bernilai RM1.26 juta

KUCHING-- Kegiatan seorang lelaki menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak pertengahan 2021 terbongkar selepas ditahan bersama 35,486 gram dadah disyaki syabu yang dianggarkan bernilai RM1.26 juta.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Stutong Baru di sini, kelmarin, adalah rampasan dadah terbesar dilakukan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

"Sebanyak 12 bungkusan seberat 12,447 gram disyaki dadah jenis syabu dirampas di dalam kereta dinaiki suspek.

"Sejumlah 27 bungkusan seberat 22,676 gram dan satu paket plastik lutsinar mengandungi hablur kristal seberat 363 gram disyaki dadah jenis syabu dirampas dalam pangsapuri didiami suspek," katanya ketika mengadakan sidang media hari ini.

Beliau berkata, dadah tersebut dihantar oleh ahli sindiket di Semenanjung Malaysia melalui perkhidmatan kurier seterusnya diedar di sekitar daerah Kuching dan daerah berdekatan.

"Keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan lebih 177,000 penagih. 

"Semakan rekod kesalahan lampau mendapati suspek berusia 37 tahun itu mempunyai dua rekod di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tujuh rekod di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing suspek juga didapati positif dadah jenis ketamine dan benzo.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan jika disabit kesalahan," tegasnya.
Next Post Previous Post