SPRM Tahan Seorang Lagi Suspek Sindiket Rasuah Pengagihan Kuota Tiket Penerbangan Umrah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lagi suspek bagi membantu siasatan kerana disyaki terlibat dengan sindiket rasuah pengagihan kuota tiket penerbangan umrah.

Menurut sumber, suspek lelaki yang juga seorang pengarah urusan sebuah agensi pelancongan di Selangor berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.30 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

Perintah reman selama empat hari bermula hari ini hingga 15 Februari 2023 dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek ketujuh itu dipercayai memberi suapan kepada suspek pertama dan kedua yang ditahan reman sebelum ini sebagai balasan membantu ejen pelancongannya mendapatkan tiket penerbangan umrah.

Menurutnya lagi, SPRM telah memanggil beberapa saksi dari syarikat berkaitan dan tidak menolak kemungkinan akan memanggil lebih ramai lagi saksi bagi membantu siasatan.

Sumber itu berkata, SPRM turut menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM160,000, telefon mudah alih dan beberapa komputer riba yang digunakan suspek terbabit.

“Proses pembekuan akaun-akaun tertentu terutamanya akaun pelaburan amanah saham yang melibatkan isteri, bekas isteri serta anak-anak mereka turut dijalankan.

“Siasatan SPRM adalah menjurus kepada salahlaku jenayah rasuah di kalangan pegawai-pegawai syarikat yang merupakan ejen tunggal kepada syarikat penerbangan luar negara. Siasatan awal mendapati tiada unsur salahlaku oleh syarikat (ejen tunggal) ini tetapi pegawai-pegawai syarikat ini yang telah memanipulasi penjualan tiket melalui "komisyen" yang diminta dari syarikat- syarikat pelancongan lain untuk kepentingan sendiri. 

“Siasatan juga mendapati syarikat ejen tunggal ini telah menyempurnakan penjualan tiket-tiket berdasarkan kepada kuota yang dipersetujui dan ditetapkan oleh syarikat penerbangan luar negara berkaitan. Justeru, tiada timbul kebimbangan terhadap pengurangan jumlah kuota sedia ada yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada syarikat penerbangan luar negara tersebut kerana syarikat ejen tunggal sentiasa berjaya memenuhi kuota tiket seperti yang diperuntukkan,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Dato’ Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman tersebut berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Pada Jumaat lalu, SPRM berjaya membongkar satu sindiket menentukan pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan bagi agensi-agensi pembekal perkhidmatan umrah dengan meminta rasuah kononnya berbentuk komisyen.

Menurut sumber, seramai enam individu berusia antara 34 hingga 55 tahun yang ditahan SPRM itu terdiri daripada pengarah serta kakitangan syarikat pelancongan melibatkan enam buah syarikat dalam satu operasi khas di empat buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah.


LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.