Ibu bapa mangsa bahana dadah

KUCHING— Peningkatan kes serangan fizikal dan ugutan bunuh terhadap ahli keluarga yang dikaitkan dengan penagih dadah di negeri ini membimbangkan.

Lihat sahaja bagaimana pengaruh dadah mempengaruhi penagih terutama ketika mereka terputus bekalan. 

Sebelum ini, media kerap melaporkan kes ibu-bapa yang dicederakan dan diugut bunuh oleh anak-anak mereka setiap kali permintaan wang tidak diendahkan.

Pernah, seorang pemuda menggugut menembak ibu kandungnya menggunakan senapang angin. Pernah juga penagih dadah menggugut membakar rumah keluarga, meletupkan tong gas dan merosakkan harta-benda. Malah tergamak menggugut membubuh racun dalam makanan ibu bapanya.

Dua hari lalu, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen selepas mencederakan ibunya menggunakan sebatang kayu mop dan ugut bunuh mangsa kerana enggan memberikan wang untuk membeli dadah.

Bagi pertuduhan pertama di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun sama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa berusia 58 tahun dengan menggunakan sebatang kayu mop sehingga cedera dan luka di bahagian dahi.

Manakala pertuduhan kedua di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan tertuduh mengugut hendak membunuh mangsa menggunakan sebilah pisau pemotong daging.

Tertuduh turut melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa dengan mengatakan ‘kelak ku bunuh kitak’ menyebabkan mangsa ketakutan dan membuat laporan polis.

Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan di kediaman mereka di Kampung Telaga Air, Jalan Matang, kira-kira jam 9.30 pagi, 5 Januari lalu.

Hakim Maris Agan menjatuhkan hukuman penjara setahun untuk setiap pertuduhan dan memerintahkan ia dijalankan serentak.

Mengulas isu ini, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak – kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Rosey Yunus, berkata kementerian memandang serius peningkatan kes ugutan bunuh dan mencederakan ibu bapa.

Katanya, kementerian melalui Majlis Pembangunan Sosial Sarawak giat melaksanakan program advokasi. 

Selain itu penubuhan Biro Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) dan randau melibatkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Pusat Sehenti Penagihan (OSCA) di setiap daerah.

“Namun usaha ini tidak memadai. Semua pihak bertanggungjawab dalam melaporkan kes dan membantu penagih mendapatkan rawatan pemulihan,” katanya kepada Borneo Network.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Jalan Bintang, Iqbal Abdollah berkata, penyalahgunaan dadah kini telah amat berleluasa dengan adanya dadah sintetik yang diperkenalkan di pasaran gelap dan haram. 

“Ia mudah diperolehi di bandar dan kini telah merebak ke pinggir bandar, kampung dan pedalaman.

Semakin ramai belia terjebak kerana kesan dadah sintetik ini yang dikenali dengan pelbagai nama seperti ice, batu, syabu, metaphetamine mudah dan cepat menyebabkan ketagihan yang kronik terhadap dadah jenis ini.

Apabila sudah terjebak amat sukar untuk kembali ke jalan yang benar. Maka intervensi dari pihak AADK diperlukan dalam hal ini,” katanya.

Tegasnya, tanggungjawab mendidik anak perlu bermula dari rumah lagi. 

“Ibu bapa perlu memantau pergerakan anak-anak dari masa ke masa. Jika ada masalah hendaklah dibawa berbincang dengan guru-guru untuk mengatasinya lebih awal,” katanya.
Next Post Previous Post