Malaysia, Indonesia hantar misi ke Kesatuan Eropah



JAKARTA— Indonesia dan Malaysia, pengeluar minyak sawit terbesar dunia bercadang menghantar misi ke Kesatuan Eropah (EU) bagi membincangkan kesan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan blok itu terhadap sektor sawit kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peraturan yang dibuat melibatkan hanya sebelah pihak itu menjejaskan eksport minyak sawit global serta negara membangun yang lain. 

“Justeru misi ini akan mengemukakan fakta saintifik, amalan perladangan yang digunakan kedua-dua negara dan kepentingan ekonomi dalam konteks sosial.

"Kita akan bawa bersama wakil-wakil pekebun kecil untuk menyuarakan pandangan," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat dua hala bersama Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto di sini, lapor Astro Awani.
 
Katanya, kedua-dua negara juga mengulangi komitmen menjaga alam sekitar termasuk penebangan hutan secara 'sustainable' (mampan) untuk membuka ladang dalam membangunkan ekonomi.

“Kita sentiasa berusaha mematuhi peraturan terhadap industri sawit, tetapi peraturan tersebut perlu adil dan saksama serta memahami keadaan di kedua-dua negara yang berusaha membantu pekebun kecil keluar dari garis kemiskina,” katanya.

Malaysia telah mengambil alih jawatan sebagai pengerusi Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) pada 2023 dari Indonesia.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menambah, CPOPC dengan sokongan kerajaan dan agensi serta sektor akan terus membantu pekebun kecil untuk mematuhi peraturan perladangan dan meningkatkan hasil tanaman.

“Kawasan penanaman pekebun kecil membentuk kira-kira 27 peratus daripada kawasan penanaman di Malaysia, dan kira-kira 40 peratus di Indonesia,” katanya.

Fadillah menambah, CPOPC juga akan berhubung agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya standard pensijilan minyak sawit MSPO (Malaysian Sustainable Palm Oil) dan ISPO (Indonesia Sustainable Palm Oil) diiktiraf bukan sahaja EU tetapi global.

MSPO yang diperkenalkan pada 2013 telah dikaji oleh kedua-dua pihak berkepentingan tempatan dan antarabangsa melalui perundingan awam dan semakan semula piawaian skim pensijilan itu yang dilancarkan pada 2022.

ISPO ialah skim pensijilan kemampanan nasional Indonesia untuk minyak sawit dan diperkenalkan pada 2011.
Next Post Previous Post