Fadillah bincang dengan Anwar untuk naikkan harga lantai getah sekerap kepada RM4

KUALA LUMPUR— Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan berbincang dengan Kementerian Kewangan berhubung cadangan untuk meningkatkan harga lantai getah sekerap kepada RM4 sekilogram daripada RM2.50 masa ini.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kementerian bersama agensi terlibat seperti Kementerian Kewangan; Kementerian Ekonomi; Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah; Kementerian Industri Makanan, Komoditi Dan Wilayah Sarawak (MFICORD); Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) telah mengkaji mekanisme penambahbaikan kadar Insentif Pengeluaran Getah (IPG).

“Dapatan kajian menunjukkan bahawa sekiranya kadar IPG dinaikkan kepada RM4.00 sekilogram daripada RM2.50 pada masa ini, kerajaan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.29 bilion berdasarkan jumlah pengeluaran getah sebanyak 450,000 tan dengan harga purata tahunan RM6.10 sekilogram. 

“Untuk itu, hal ini memerlukan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan bergantung kepada kemampuan kewangan Kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, cadangan ini antara inisiatif KPK bagi mengurangkan impak ketidakstabilan harga getah dan menstabilkan pendapatan pekebun kecil getah yang terjejas akibat kejatuhan harga komoditi itu ketika ini.

“Kerajaan prihatin dengan harga komoditi getah agar sentiasa stabil dan mampan. 

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, harga getah asli bergantung kepada permintaan dan penawaran pasaran di peringkat global. Memandangkan syer pengeluaran Malaysia bagi tahun 2022 hanya 3.3% daripada pengeluaran getah asli dunia, maka kita tidak mempunyai kemampuan untuk mengawal harga getah asli,” kata Fadillah.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik), Hamzah Zainuddin (PN-Larut), Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut), Zahari Kechik (PN-Jeli) dan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkenaan usaha kerajaan bagi membantu pekebun kecil getah pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Selain daripada itu, Kementerian juga akan melihat potensi sektor-sektor baru yang boleh diketengahkan bagi menjana sumber pertumbuhan baru dan pendapatan untuk negara.

“Antaranya adalah biojisim merangkumi fiber yang dijangka boleh menarik pelaburan berjumlah RM10 bilion menjelang 2025.

Kementerian juga akan meneroka peluang untuk sektor Agrikomoditi terlibat dalam aktiviti perdagangan karbon sebagai usaha untuk mewujudkan peluang pertumbuhan baru termasuk kenaf yang boleh dijadikan sebagai sumber bahan binaan. 

Dalam hal ini, Kementerian akan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk membangunkan mekanisme yang bersesuaian bagi merealisasikan potensi karbon sebagai komoditi baru,” katanya.
Next Post Previous Post