Dua syarikat perumahan diarah bayar denda, atau berdepan prosiding jenayah mahkamah tinggi

BINTULU: Dua syarikat pemaju di bahagian ini diarah bagi membayar amaun denda sebanyak RM140,392 kepada enam pembeli rumah atas kelewatan menyerahkan rumah (LAD) termasuk kecacatan pada struktur rumah iaitu tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan, kata Presiden Mahkamah Tribunal Tuntutan Pembelian Rumah Sarawak (TTPRS), Trabawan Mandi.

Menurutnya, tuntutan yang dikenakan oleh lima pembeli rumah kepada Homemas Development (Bintulu) melibatkan denda sebanyak RM135,008 manakala tuntutan terhadap Power Majestic Sdn Bhd melibatkan seorang pembeli rumah bernilai RM5,384.12 iaitu bagi tuntutan terhadap kecacatan mutu kerja.

"Kesemua tuntutan ini harus dijelaskan pihak pemaju kepada pembeli rumah dalam tempoh 45 hari selepas menerima surar dari pihak mahkamah mengikut jumlah yang ditetapkan dalam tuntutan," jelas beliau sejurus selesai sesi pendengaran kes TTPRS di Mahkamah Bintulu hari ini.

Beliau menegaskan kegagalan melunaskan denda yang dikenakan dalam tempoh ditetapkan akan membolehkan kedua-dua syarikat pemaju dikenakan tindakan yang lebih berat lagi iaitu prosiding jenayah di Mahkamah Tinggi.

"Pihak pembeli rumah yang terkesan akibat kelewatan penyerahan rumah ini harus mendapat pembelaan sewajarnya kerana mereka rumah yang diinginkan dalam tempoh ditetapkan, malah terdapat sebuah kes yang mana struktur rumah tidak mengikut spesifikasi ditetapkan," tegas beliau.

Justeru, tuntutan yang dibuat oleh pembeli rumah yang terkesan adalah wajar memandangkan mereka mengalami kerugian ekoran kelewatan penyiapan kediaman itu.
Next Post Previous Post