Dijanjikan keuntungan RM647,945 - akhirnya RM226,948 lesap

KUCHING-- Seorang juruteknik syarikat Petrokimia antarabangsa berusia 59 tahun lesap RM226,948 selepas diperdaya skim pelaburan tidak wujud. 

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pada sekitar Jun 2022 mangsa telah diperkenalkan oleh seorang individu untuk mengikuti pelaburan. 

"Lelaki terbabit mengatakan kepada mangsa bahawa dia sendiri turut membuat pelaburan dan melihat ada keuntungan dalam platform pelaburan berkenaan. 

"Disebabkan oleh itu, pengadu tertarik dan bersetuju menyertai pelaburan tersebut," katanya menerusi kenyataan media hari ini. 

Pelaburan dalam talian itu merupakan satu platform pelaburan yang menggunakan matawang dolar USD. 

Tambahnya, mangsa telah memuatnaik aplikasi pelaburan itu untuk memantau kenaikan dan penurunan saham.  

"Bermula pada 22 Jun 2022 sehingga 19 Ogos 2022 mangsa telah membuat pindahan wang sebanyak 15 transaksi ke dalam tiga akaun bank melibatkan jumlah keseluruhan RM226,948. 

Menurutnya lagi, jumlah keuntungan yang sepatutnya diterima oleh mangsa mengikut jumlah pelaburan yang telah dibuat adalah $154,272.62 USD bersamaan RM647,945.

"Mangsa mengatakan bahawa mangsa juga telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan Whatsapp yang mana group tersebut telah dikawal (kumpulan admin) oleh seorang lagi individu. 

"Mangsa mengatakan individu terbabit yang kongsikan nombor akaun di dalam kumpulan Whatsapp untuk tujuan membayar wang pelaburan. 

"Pada 17 Ogos 2022 mangsa telah menerima email dari Pusat Khidmat Pelanggan pelaburan berkenaan menyatakan bahawa platform pelaburan tersebut mempunyai masalah dan telah digodam," jelasnya. 

Abang Zainal berkata, disebabkan itu platform berkenaan akan dinaiktaraf ke platform lain. 

Namun, katanya, sehingga hari ini mangsa belum menerima apa-apa pulangan daripada pelaburan berkenaan. 

"Mangsa rasa telah ditipu dan mengalami kerugian sebanyak RM226,948 dan tampil membuat laporan polis," ujarnya. 

Berikutan itu, beliau memberitahu seorang suspek ditahan untuk siasatan. 

Tegasnya lagi, polis juga sedang mengesan individu terlibat.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Next Post Previous Post