Wanita didakwa bunuh pemandu e-hailing

TAWAU-- Mahkamah Majistret di sini, menetapkan 6 Mac depan untuk sebutan semula kes seorang wanita yang didakwa
atas pertuduhan membunuh pemandu e-hailing di ladang kelapa sawit di Batu 5 Jalan Apas, awal bulan ini.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Dzul Elmi Yunus hari ini.

Tertuduh, Nurima Juli, 33, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Penetapan sebutan semula kes sementara menunggu rekuisisi, laporan kimia dan laporan bedah siasat.

Mengikut kertas pertuduhan, Nurimah bersama beberapa individu yang masih bebas dituduh membunuh Nurman Bakaratu, 61.

Kes dipercayai berlaku antara 7.30 malam hingga 10.30 malam pada 13 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh yang berpakaian t-shirt hitam dan seluar jeans biru tiba di mahkamah kira-kira 2.22 petang sambil diiring anggota polis sebelum dibawa ke bilik bicara.

Media sebelum ini melaporkan tertuduh bersama lapan pegawai dan anggota polis termasuk seorang pegawai kanan direman bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh terbabit.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.