Op Limau: Wanita antara 91 ditangkap

KUCHING-- Seramai 91 individu termasuk seorang wanita ditangkap dalam 18 serbuan yang dijalankan sepanjang Op Limau bermula pada 15 hingga 29 Januari lalu di Sarawak. 

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, suspek terdiri daripada 87 warga tempatan dan empat warganegara asing berumur antara 17 hingga 63 tahun. 

Jelasnya, operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak itu bagi membendung aktiviti perjudian dalam dan luar bangunan tertakluk di dalam jadual pertama dan kedua Akta Rumah Judi Terbuka 1953 sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

"Dalam masa yang sama polis telah merampas wang tunai berjumlah rm RM14,670 termasuk set peralatan perjudian. 

"Antara jenis perjudian yang popular dimainkan adalah perjudian sabong ayam, judi poker(daun terup) dan judi holo (hoo hey how)," katanya menerusi kenyataan media hari ini. 

Tegas Mohd Azman, suspek-suspek disiasat mengikut peruntukan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana berjudi dalam bangunan dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana berjudi di luar bangunan. 

Jika disabitkan dengan kesalahan katanya boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, sebanyak dua daripada 18 kertas siasatan telah berjaya mendapat arahan tuduh daripada Pejabat Timbalan Pendakwaraya. 

"Manakala baki daripada kertas siasatan ini berstatuskan dalam siasatan," ujarnya. 

Mengulas lanjut tentang rampasan, beliau berkata, ia melibatkan wang tunai berjumlah RM14,670, enam set daun terup (1 set 52 keping), 324 keping cip anggaran bernilai (RM25,700.00), 112 biji tau gee, satu meja kayu, tiga kerusi plastik, 12 biji dadu, enam helai kain holo (hoo hey how), tiga bilah taji ayam, dua unit penimbang, 14 ekor ayam hidup dan lapan ekor ayam mati. 

"Kesemua tangkapan telah ditahan reman bagi tujuan siasatan lanjut.

"Polis akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang menganjur dan menjalankan pertaruhan berlandaskan undang- undang sedia ada dalam usaha menangani aktiviti perjudian," jelasnya. 

Justeru, beliau berharap orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian boleh menyalurkan maklumat tersebut melalui hotline whatsapp op limau ditalian 013-5253052.
Next Post Previous Post