Kes rompak bersenjatakan parang, saspek ada tujuh kes lampau berdepan hukuman penjara 20 tahun

 


KUCHING-- Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. 

Begitulah nasib seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes samun sebuah kedai makan di Jalan Stutong di sini berjaya ditangkap malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, tangkapan telah dibuat oleh anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

"Suspek lelaki tempatan berusia 35 tahun ditangkap di sebuah rumah di Kuching," katanya menerusi kenyataan media hari ini. 

Tambahnya, suspek turut mempunyai tujuh rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelas Ahsmon, suspek dibawa ke Mahkamah Kuching 9.00 pagi tadi untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. 

Sebelum ini, Ahsmon yang mengesahkan satu laporan berhubung kejadian samun itu berkata, kejadian samun tersebut berlaku pada jam 4.55 pagi Selasa membabitkan dua suspek yang menggunakan sebilah parang. 

"Sepasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak telah digerakkan bagi mengesan suspek," katanya. 

Jelasnya, kejadian ini telah menyebabkan mangsa kerugian RM2,000.

Tegas Ahsmon, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. 

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan," ujarnya.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.