Keadaan jenayah di Sarawak rendah dan terkawal

 


KUCHING-- Keadaan jenayah di Sarawak pada umumnya berada di tahap yang rendah dan terkawal, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri. 

Jelasnya, jenayah indeks Sarawak bagi tempoh Januari hingga Disember 2022, sebanyak 3,895 bersamaan 81 peratus kes jenayah indeks telah dilaporkan berbanding 4,299 bersamaan 37 peratus kes pada tempoh yang sama tahun 2021. 

"Perbandingan ini menunjukkan penurunan sebanyak 404 kes atau bersamaan 9 peratus," katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini. 

Mengambil kira sejumlah 50,822 kes jenayah indeks yang dilaporkan di seluruh negara pada Januari hingga Disember 2022 kata Azman, Sarawak hanya menyumbang 7.66 peratus kepada jenayah indeks Malaysia. 



"Ini membolehkan kontinjen Sarawak berada di kedudukan yang ke-6 berbanding kontinjen lain," ujarnya. 

Mengulas lanjut, Azman berkata bagi jenayah kekerasan didapati menurun  sebanyak dua kes iaitu 597 kes tahun lalu berbanding 599 kes pada tempoh sama tahun 2021. 

"Daripada kesalahan yang dilaporkan, samun bersenjatapi, kes samun tanpa senjatapi dan kes mencederakan adalah penyumbang kepada peningkatan kes jenayah kekerasan.

Bagi jenayah harta benda pula katanya, juga menunjukkan penurunan sebanyak 402 kes iaitu 3,298 kes berbanding 3,700 kes bagi tempoh yang sama. 

"Walaupun kategori jenayah harta benda menunjukkan tren penurunan, kes curi motokar menunjukkan peningkatan sebanyak 142 kes manakala curi motosikal meningkat sebanyak 185 kes," ujarnya. 

Mengenai penyelesaian kes jenayah indeks Januari hingga Disember 2021/2022, beliau memberitahu, secara keseluruhannya sebanyak 3,895 kes telah dilaporkan dan 3,157 kes berjaya diselesaikan bagi tahun lepas. 

"Manakala bagi tempoh sama tahun 2021 pula sebanyak 4,299 kes telah dilaporkan dan 1, 581 kes berjaya diselesai," jelasnya. 



Next Post Previous Post