Kabinet Kerajaan Perpaduan setuju tambah baik Pemberian Khas kepada Sabah, Sarawak


KUCHING-- Kabinet bersetuju untuk menambahbaik peruntukan di dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan melibatkan Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak. 

Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, formula dari segi jumlah kenaikan pemberian khas ini akan dimuktamadkan dalam mesyuarat yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuching Februari nanti.

 "Namun secara prinsipnya, Jemaah Menteri telah bersetuju untuk mempertimbangkan penambahbaikan Pemberian Khas sedia ada kepada kedua-dua negeri berkenaan," katanya menerusi kenyataan media hari ini. 

Dalam pada itu, Fadillah memberitahu, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri pada sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, kerajaan telah memutuskan supaya siri rundingan terdahulu berkaitan Perjanjian Malaysia (MA63) diteruskan di peringkat pegawai untuk tindakan Kementerian dan Agensi. 

"Seterusnya akan dibawa ke Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) atau Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan. 

"Apa yang telah dipersetujui dan diluluskan oleh Jemaah Menteri ialah memperkasakan Platform Perundingan Tertinggi sebagai Platform Agenda Tindakan Pelaksanaan Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan

Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana

Menteri sendiri dan melibatkan Premier Sarawak serta Ketua Menteri Sabah," jelasnya. 

Tambahnya, mesyuarat pertama dijadualkan pada Februari 2023 yang juga akan menjadi lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke-10 ke Sarawak. 

Manakala bagi Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikannya Fadillah berkata ia akan melihat dan meneruskan perbincangan dengan semua agensi serta memuktamadkan semua perkara yang belum diputuskan untuk dibawa ke MTPMA63. 

"Apa yang sudah dimuktamadkan ialah proses penyerahan kuasa kawal selia gas kepada Kerajaan Negeri Sabah dengan ia juga sudah mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 27 Disember 2022," katanya. 

Selain itu, beliau memberitahu Jemaah Menteri juga telah bersetuju mengiktiraf agensi teknikal di Sabah dan Sarawak dengan Jabatan Kerja Raya Sabah dan Sarawak diiktiraf sebagai Jabatan Teknik. 

Menurutnya, dengan pengiktirafan ini JKR Sabah dan Sarawak diberi kuasa mentadbir urus projek-projek pembangunan persekutuan pada kadar sehingga RM50 juta. 

Katanya lagi, kerajaan turut memberi komitmen untuk meneruskan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan Sabah yang merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik secara berperingkat jaringan infrastruktur jalan persekutuan di Sabah dan Sarawak. 

"Projek pan Borneo Sarawak kini sudah 91 peratus siap, manakala projek Pan Borneo Sabah sudah 73 peratus siap. 

"Pada masa yang sama Kerajaan juga komited dalam meneruskan Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR)

yang terbahagi kepada dua fasa iaitu SSLR Fasa 1 (Lawas-Persimpangan Long Lopeng), kini sudah 10 peratus siap dan SSLR Fasa 2 serta Lebuhraya Trans Borneo yang melibatkan Miri-Limbang-Lawas," ujarnya. 

Manakala Trans Borneo pula katanya akan dimulakan sebaik sahaja Kementerian Kerja Raya selesai melantik kontraktor yang dijangka akan dimuktamadkan pada 2024. 

"Ini semua membuktikan komitmen dan kesungguhan tekad kerajaan dalam menyelesaikan semua isu-isu berkaitan MA63 yang masih lagi tertunggak dan memartabatkan MA63 serta memantapkan infra rakyat di kedua-dua negeri berkenaan," tegasnya.
Next Post Previous Post