MBKS bantu polis tempatkan warden trafik atasi kesesakan Samarahan-Kuching Expressway

 



KUCHING-- Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menempatkan warden trafik di bulatan bulatan Tabuan Tranquility bagi membantu melancarkan aliran trafik di situ sekali gus mengurangkan kesesakan di laluan Samarahan-Kuching Expressway. 



Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata, ia merupakan langkah-langkah sementara telah dikenal pasti yang boleh memudahkan perjalanan lalu lintas di laluan berkenaan. 



"MBKS akan membantu polis dengan menempatkan Warden Trafik MBKS di kawasan itu.



"Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai langkah sementara dalam minggu ini," katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya hari ini. 



Jelas Wee ia sebagai maklum balas kepada aduan orang ramai mengenai projek bulatan di laluan Kuching-Samarahan Expressway yang telah mencetuskan kesesakan lalu lintas yang luar biasa sejak akhir-akhir ini. 



"MBKS membantu JKR Sarawak dan telah mengadakan mesyuarat penyelarasan untuk membantu JKR dalam mengurangkan isu kesesakan pada waktu puncak di laluan Kuching Samarahan Expressway ini. 



"Mesyuarat itu turut dihadiri Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Dato Peter Minos, Pegawai JKR, Polis, Kontraktor, Ahli Majlis dan Pegawai MBKS.



"Dalam mesyuarat tersebut, langkah-langkah sementara telah dikenal pasti yang boleh memudahkan perjalanan lalu lintas," jelasnya. 





Sebelum ini, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mengetengahkan isu kesesakan di laluan berkenaan dan menggesa tindakan segera diambil bagi menyelesaikan masalah tersebut. 



Next Post Previous Post