Tubuh Pasukan Tugas Khas tangani isu kesesakan Expressway Samarahan- PKR

 Ketua Cabang PKR Kota Samarahan Mahmud Epah. 


KOTA SAMARAHAN-- Tubuh Pasukan Tugas Khas bagi menangani segera isu kesesakan trafik di laluan Samarahan-Kuching Expressway, tegas Ketua Cabang PKR Kota Samarahan Mahmud Epah. 

Jelasnya, pasukan itu harus dianggotai agensi berkaitan, Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), JKR Sarawak dan Kontraktor yang dilantik bersama Bahagian Trafik PDRM. 

"Pasukan Tugas Khas ini bagi bertindak meneliti dan mencari jalan penyelesaian jangka masa pendek berkaitan kaedah dan tindakan penyuraian kesesakan lalu lintas di sepanjang Kuching-Samarahan Expessway secara komprehensif dan segera.

"Justeru, sebagai langkah jangka masa pendek, pasukan ini disaran menempatkan kawalan penguatkuasaaan secara bersama oleh MPKS dan PDRM pada waktu puncak perlu digerakkan secara lebih drastik," katanya dalam kenyataan. 

Mahmud juga berharap agensi yang terlibat mengkaji dan menggunakan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) dari agensi pelaksana, JKR Sarawak sebagai rujukan untuk mencari idea penyelesaian. 

Pada masa yang sama katanya, ini juga boleh menilai keberkesanan projek yang sedang dijalankan untuk diperbaiki di masa hadapan.

Tegasnya, isu kesesakan jalan raya di Kota Samarahan bukan isu baharu malahan telah berlangsung selama beberapa tahun sejak kebelakangan ini. 

Menurutnya, ditambah pula dengan bermulanya sesi persekolahan dan para pekerja yang sudah mula bekerja, jumlah pengguna jalan raya Kuching-Samarahan Expressway telah meningkat dengan mendadak.

"Kesesakan jalan raya yang berlaku pada semalam di sepanjang Kuching-Samarahan Expressway bermula dari Bulatan INTAN sehingga ke Bulatan Tabuan yang hanya sepanjang 8 kilometer telah mengambil masa 4 jam perjalanan.

"Rata-rata pengguna jalan raya yang terkesan telah berkongsi di Media Sosial menyatakan keresahan dan memohon agar tindakan jangka masa pendek dengan kadar segera diambil bagi menyelesaikan masalah tersebut," katanya. 

Tambahnya, antara halangan yang dikenal pasti menyumbang kepada kesesakan teruk adalah kerja-kerja penambahbaikan jalan dan pembinaan lampu isyarat di setiap bulatan sepanjang Kuching-Samarahan Expressway.


LihatTutupKomentar