Anwar Ibrahim tiba ke Sarawak hari ini, MA63 agenda utama lawatan PM



KUCHING-- Lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sarawak sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November tahun lepas dijangka akan membawa khabar gembira kepada penduduk di Bumi Kenyalang. 

 Pewartaan status Sarawak dan Sabah secara rasmi sebagai wilayah antara yang akan dibincangkan pada mesyuarat bersama pemimpin nombor satu negara itu yang dijadualkan diadakan hari ini.

 Jelas, status Sabah dan Sarawak sebagai sebuah wilayah membuktikan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan ekonomi di kedua-dua wilayah. 

 Pertukaran status berkenaan juga diharap membuka lembaran baharu dan mempercepatkan usaha Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

 Kenapa semasa pentadbiran Perdana Menteri ke-10 itu baharu MA63 ditunaikan? 

 Malah, Anwar juga dilihat sangat prihatin berhubung hal-hal MA63 dengan mengadakan perbincangan mengenainya dari semasa ke semasa. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Haji Abang Openg berkata, ketika pembentukan Malaysia pada 1963, Sarawak dan Sabah memang diiktiraf sebagai wilayah. 

Bagaimanapun katanya, banyak perubahan yang berlaku dalam tempoh 60 tahun sehingga status Sarawak dan Sabah disebut sebagai negeri.

"Sememangnya dari mula lagi sepatutnya kita (Sarawak dan Sabah) berstatus wilayah seperti mana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia (MA63). 

"Sebab itu kita pinda perlembagaan dan MA63 seterusnya (menukar) Ketua Menteri kepada Premier Sarawak," kata Abang Jo ketika ditemui pada Program Hari Tanpa Kereta, anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Padang Merdeka, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, status wilayah termaktub di dalam MA63 serta Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) ketika pembentukan Malaysia.
  Pemimpin yang diberikan kepercayaan untuk menyegerakan penyelesaian isu MA63, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, dalam masa sebulan, beberapa isu utama berhubung MA63 telah diselesaikan. 

 "Antaranya ialah membenarkan Sabah dan Sarawak mempunyai pengurusan secara langsung terhadap pelaksanaan mana-mana projek yang bernilai bawah RM50 juta dan ini bermakna 70 peratus daripada projek persekutuan akan diuruskan oleh negeri. 

 "Projek-projek yang berada dalam lingkungan kos itu merangkumi sekolah, klinik, balai bomba dan projek-projek luar bandar lain dapat dijalankan oleh JKR Sarawak," kata beliau semasa berucap pada majlis jamuan malam bersama pemimpin GPS di Dewan MUC baru-baru ini. 
  Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, keputusan itu amat bermakna di dalam usaha mempercepatkan pembangunan di luar bandar. 

“Inilah kedudukannya bila kita dapat bersama membentuk kerajaan dan suara kita didengar dan yang penting GPS diiktiraf peranannya dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan,” ujar anak jati Sibu itu dalam lawatan rasmi pertama ke kampung halaman beliau selepas menjawat tugas Timbalan Perdana Menteri. 

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, GPS memainkan peranan di dalam menentukan kestabilan politik negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

"Justeru, setiap ahli komponen GPS perlu mempastikan Kerajaan Perpaduan itu kekal dalam tempoh lima tahun akan datang demi kepentingan pembangunan untuk rakyat Sarawak," tegas ketua Whip Kerajaan Perpaduan. 

Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung Umno berkata, kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri sebaliknya wilayah. 

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur menjadikan kedudukan wilayah Sabah dan Sarawak menjadi lebih strategik untuk dibangunkan sebagai kawasan pertumbuhan baharu. 

Ahmad Zahid dilapor berkata, sejak 60 tahun lalu, Sabah dan Sarawak banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia dan kini adalah masa terbaik untuk sama-sama memajukan dua wilayah itu seiring dengan perkembangan di keseluruhan kepulauan Borneo termasuk Kalimantan, Indonesia. 

Sementara itu, Presiden United Progressive Kinabalu Organization (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menggesa peruntukan kepada Sabah, Sarawak dan Semenanjung diimbangi selepas status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah dalam Persekutuan Malaysia diwartakan.

Sehubungan itu, beliau berkata, peruntukan Sabah dan Sarawak sepatutnya menjadi satu pertiga daripada dana di bawah Rancangan Pembangunan Lima Tahun Malaysia serta bajet tahunan negara. 

Keperluan itu harus diinstitusikan. Bukan hanya satu pertiga daripada kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak yang mendapat perhatian baru-baru ini tetapi satu pertiga daripada peruntukan pembangunan dan dana juga perlu mendapat perhatian yang sewajarnya.

Tumpuan lebih meluas perlu diberikan kepada Sabah dan Sarawak merangkumi setiap aspek kehidupan rakyat serta kemudahan dan infrastruktur berkualiti yang menjadi asas kepada status sosioekonomi.

 

Next Post Previous Post