Tarif elektrik pengguna domestik tidak dinaikkan, elak beban rakyat - PM

Gambar hiasan

PUTRAJAYA— Kerajaan tidak berhasrat untuk menaikkan tarif elektrik kepada pengguna domestik bagi mengelakkan rakyat terbeban, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata keputusan itu turut melibatkan industri kecil dan sederhana (IKS), syarikat pertanian serta pengeluar makanan walaupun ia memberi implikasi kewangan kepada negara hampir RM30 bilion setahun.


“Jika dikenakan pun (kenaikan tarif elektrik) hanya terhadap syarikat-syarikat multinasional yang eksport kerana tarif terlalu rendah buat mereka dan subsidi itu tidak harus diberikan kepada syarikat gergasi yang untungnya tinggi.


“Dari segi rakyat tidak ada langsung cadangan kerajaan untuk naikkan tarif elektrik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di sini hari ini, lapor Bernama.


Anwar, bagaimanapun berkata kenaikan terhadap syarikat multinasional hanya akan berlaku secara berperingkat dan berpatutan untuk memastikan ia tidak menjejaskan operasi dan unjuran syarikat.


Menurut Perdana Menteri, maklumat terperinci mengenai keputusan itu akan diumumkan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.


Mengenai persediaan pengurusan banjir, Anwar berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan ke Kelantan esok bagi mengenal pasti langkah awal yang boleh diambil dalam persiapan menghadapi banjir.


“(Ahmad Zahid) cuba kenal pasti masalah dan ambil langkah awal persiapan. Pendekatan kita berbeza, tidak tunggu banjir…persiapan sebelum banjir,” katanya.


Semalam, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan menggerakkan langkah proaktif dalam pengurusan bencana banjir termasuk mengaktifkan lebih awal pusat pemindahan sementara (PPS).


Beliau berkata dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), beberapa kawasan yang jumlah taburan hujan tinggi dan dijangka menyebabkan banjir akan diberi tumpuan.


Sementara itu, Anwar berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) diarahkan supaya lebih proaktif dalam menangani sebarang situasi melibatkan petani berikutan masalah penyelewengan dalam infrastruktur pemasaran.


“Tahun lepas anda dengar masalah besar hingga menjejaskan petani Cameron (Highlands) yang menghadapi isu menyebabkan mereka terpaksa buang produk mereka, masalah tiada pembeli, kesukaran pengangkutan dan lain-lain...jadi FAMA perlu mengambil langkah berkenaan,” katanya.

Next Post Previous Post