Kes Ebit Lew: Maklumat kesalahan jenayah disyaki dalam telefon bimbit

kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew, Kes Ebit Lew, Maklumat kesalahan jenayah disyaki dalam telefon bimbit
Gambar hiasan


TENOM-- Seorang saksi perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew, memberitahu Mahkamah Majistret bahawa disyaki terdapat maklumat berkaitan sesuatu kesalahan jenayah dalam telefon bimbit yang dirampas daripada tertuduh.


Saksi keempat perbicaraan itu ASP Siti Nooraini Mohd Sahid berkata kemungkinan terdapat maklumat atau bukti yang boleh menjurus kepada sesuatu kesalahan jenayah yang merujuk kepada Lew atau pengadu kes.


Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam Ram Singh yang mewakili Ebit Lew apabila ditanya apakah yang dimaksudkan ‘kerana terdapat keraguan munasabah’ dalam keterangan pegawai polis itu pada perbicaraan tersebut.


Dalam pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Siti Nooraini berkata telefon bimbit itu dirampas pada 19 Ogos tahun lepas dan tiada telefon bimbit lain yang dikemukakan tertuduh pada ketika itu, lapor Bernama.


Sementara itu, Siti Nooraini tidak bersetuju apabila peguam Ram Singh menyatakan bahawa tindakan merekod keterangan seorang saksi daripada sebuah syarikat keselamatan siber iaitu LGMS Berhad adalah menghina mahkamah kerana beliau hanya menjalankan tugas seperti yang diarahkan.


Siti Noraini juga tidak bersetuju dengan dakwaan Ram Singh bahawa tindakan merekod keterangan saksi itu boleh menyebabkan penghinaan terhadap mahkamah.


Ram: Anda mengaku bahawa anda telah menyoal dan merekod keterangan seorang pemeriksa, Hoo Kah Yan. Adakah anda tahu Hoo sebagai perunding digital kanan LGMS berpotensi menjadi saksi pembelaan?


Siti Nooraini: Saya tidak pasti.


Siti Nooraini berkata laporan yang diperoleh daripada syarikat itu diperlukan pihak polis untuk tujuan analisa bagi membuat perbandingan dengan maklumat atau dokumen sedia ada dalam kes tersebut.


Siti Nooraini berkata laporan yang diperoleh daripada syarikat itu diperlukan pihak polis untuk tujuan analisa bagi membuat perbandingan dengan maklumat atau dokumen sedia ada dalam kes tersebut.


Sementara itu saksi kelima ASP Norfazliyani Zolkapeli dalam keterangan memaklumkan telah merampas sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy berwarna biru, satu kad SIM Unifi dan kad memori daripada pengadu pada 7 Ogos tahun lepas.


Beliau berkata selepas rampasan dibuat, semua barang kes itu telah diserahkan kepada pegawai penyiasat iaitu DSP Noor Asyikin Shamsuri pada hari yang sama.


Lew, 37, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas.


Pertuduhan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani bersambung pada 7 hingga 10 Feb tahun depan.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.