Wanita maut dihempap pokok ara

seorang wanita maut akibat dihempap pokok di Papar, Wanita maut dihempap pokok ara, Seorang wanita maut di hempap pokok
Anggota bomba bertindak memotong pokok tersebut menggunakan gergaji berantai bagi mengeluarkan mangsa.

KOTA KINABALU—Cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan mengakibatkan seorang wanita maut akibat dihempap pokok di Papar manakala air pasang melimpah ke Jalan Tun Fuad Stephen di sini petang ini.


Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Misran Bisara berkata mangsa, Katizah Juani, 55, meninggal dunia dihempap sebatang pokok ara tumbang yang turut menghempap tiga rumah di Kampung Laut Kinarut.


Beliau berkata pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira 3 petang dan pasukan bomba bertindak memotong pokok tersebut menggunakan gergaji berantai bagi mengeluarkan Katizah.


“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada 5.29 petang selepas bomba memastikan keadaan di lokasi selamat,” katanya yang dihubungi pemberita hari ini, lapor Bernama.


Sementara itu, Misran berkata pertembungan air pasang dengan hujan lebat berterusan mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan di Tanjung Lipat di sini termasuk Jalan Tun Fuad Stephen yang terletak di tepi pantai, yang merupakan antara jalan utama di bandar raya ini.


Beliau berkata jalan tersebut ketika ini hanya boleh dilalui kenderaan berat dan menasihatkan pengguna supaya melalui jalan alternatif.


“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan bencana banjir di kawasan tersebut pada 4.15 petang tadi. Hujan mula reda namun paras air masih setengah kaki (0.15 meter) dari paras jalan raya. Keadaan trafik pada masa ini adalah perlahan,” katanya.


Misran berkata terdapat sebuah kenderaan pacuan empat roda terjunam ke dalam parit di jalan itu dan didapati mangsa telah keluar sendiri dari kenderaan itu dengan dibantu orang awam sebelum pasukan bomba tiba.


“Mangsa dilaporkan selamat dan pemeriksaan di kawasan kenderaan turut dijalankan bagi memastikan keadaan selamat,” katanya.


Terdahulu tular menerusi media sosial air laut melimpah ke Jalan Tun Fuad Stephen dan sebuah kenderaan pacuan empat roda terbabas ke dalam parit akibat banjir kilat itu.

LihatTutupKomentar