Motac perlu keluar zon selesa, tarik pelancong - Tiong

MOTAC perlu menghentikan pemikiran lapuk dan berinovasi bagi menyaingi negara di rantau Asia Tenggara seperti Thailand dan Vietnam. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing

KUALA LUMPUR-- Pandangan, hasrat dan cadangan daripada rakan industri utama pelancongan perlu diambil kira dalam merancang hala tuju bagi meningkatkan lagi industri pelancongan negara setara dengan amalan terbaik di rantau ini.


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata kini adalah masa tepat untuk negara memulakan langkah menarik kemasukan pelancong asing, tambahan pula dunia sudah beransur pulih daripada ancaman wabak COVID-19.


“Kebanyakan negara seluruh dunia telah pun membuka pintu sempadan masing-masing seiring peralihan ke fasa pemulihan pascapandemik. Oleh yang demikian, pelancong-pelancong asing khususnya dari Asia Tenggara dan rantau Asia perlu diberi perhatian,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.


Terdahulu beliau menyampaikan amanat sebelum mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bajet dan Hala Tuju Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) 2023. 


Tiong berkata antara fokus MOTAC tahun hadapan ialah memperkukuh dan meningkatkan kerjasama strategik bersama rakan industri terutama dalam mempergiat usaha mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa.


“Kementerian juga perlu mencari jalan bagaimana sektor pelancongan dapat memberi perhatian kepada aspek ketersambungan, tarikan baharu, ketersediaan infrastruktur pelancongan dan kualiti perkhidmatan menerusi inisiatif berbentuk kerjasama strategik,” katanya.


Mahu MOTAC keluar dari zon selesa dan bertindak progresif dalam usaha menarik kemasukan pelancong asing, Tiong berkata warga MOTAC perlu menghentikan pemikiran lapuk dan berinovasi bagi menyaingi negara di rantau Asia Tenggara seperti Thailand, Vietnam dan lain-lain.


“Sedia maklum, negara-negara tersebut telah mengatasi Malaysia dalam industri pelancongan, justeru amat penting bagi MOTAC untuk melakukan sesuatu secara agresif untuk terus berdaya saing,” katanya.


Dalam masa sama, beliau berkata MOTAC juga perlu mewujudkan semula matlamat berasaskan Petunjuk Prestasi Utama atau KPI dan semua warga kementerian termasuk agensi di bawah MOTAC perlu komited untuk merealisasikannya.


“Saya turut mengingatkan bahawa Perdana Menteri menaruh harapan tinggi kepada MOTAC dan berharap kemasukan pelancong asing dapat ditingkatkan pada tahun hadapan, seterusnya membawa limpahan ekonomi kepada rakyat dan negara,” katanya.


Beliau turut meminta penglibatan serta peranan semua pihak berkaitan untuk memikirkan langkah terbaik mempromosikan industri pelancongan negeri masing-masing mengambil kira peluang pelancongan yang wujud pascapandemik.

Next Post Previous Post