Elak Pantai Belawai musnah akibat hakisan, anak watan Kampung Belawai keluar modal sendiri
BELAWAI-- Demi memelihara pantai Belawai daripada musnah akibat hakisan, anak watan Kampung Belawai sanggup berhabisan ribuan ringgit untuk mengekalkan kawasan tumpuan ramai itu.
Ibnee Ekni yang berusia 57 tahun, memulakan perniagaan kedai makan di Tanjung Manis pada 2009 dan kemudian memulakan perniagaan Iftitah Restoran & Resort di Pantai Belawai pada 1 Januari 2015 sehingga sekarang.
"Perniagaan ini dirancang selepas melihat limpahan pengunjung luar yang datang ke Pantai Belawai beberapa tahun lepas dan mencari tempat penginapan serta tempat makan.
"Saya selalu berfikir, kalau saya tidak cekal, pantai ini akan musnah dan industri pelancongan di sini akan merudum di Belawai.
"Ini akan memberi kesan kepada peniaga kecil di kampung dan sebab ini saya harus bertahan walaupun bermacam masalah yang datang," katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.
Sejak membuka perniagaan di pantai itu yang diurus oleh anak sulungnya, Siti Nooratiqah Ibnee bersama isterinya Ani Kat, sepanjang lapan tahun sudah enam kali hakisan melanda pantai berkenaan.
Namun, dalam tempoh dua tahun ini, katanya hakisan pantai amat teruk hingga hampir menjejaskan perniagaannya di situ.
"Dalam tempoh dua tahun hakisan pantai amat teruk berlaku, pentas 'I love Iftitah' tahun lepas hampir runtuh," jelasnya.
Justeru, menjadi harapan beliau untuk melihat agensi dan kementerian berkaitan termasuk Kementerian Pelancongan dapat membantu dalam usaha membaik pulih dan memelihara keindahan pantai Belawai.
"Walaupun saya adalah pengusaha persendirian yang mempunyai modal yang sangat terhad untuk melihat kepada permasalahan hakisan Pantai Belawai ini namun jika ia tidak dijaga sekarang tidak mustahil pantai ini akan terhakis lebih jauh ke daratan," ujarnya.
Tegasnya, beliau terpaksa mengeluarkan modal RM3,000 hingga RM5,000 untuk membaik pulih pantai di sekitar resortnya.
Mengenai pengunjung di pantai itu, Ibnee berkata, kira-kira 80 orang berkunjung di resortnya dan dianggarkan kira-kira 500 orang pengujung harian sehari berkunjung di situ.