Geran khas tahunan: Sarawak telah kemuka formula - Abang Johari


Kuching - Sarawak telah mengemukakan formulanya kepada Kerajaan Persekutuan berhubung pemberian geran khas tahunan kepada negeri itu di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.


Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata formula yang dikemukakan kerajaan negeri Sarawak itu dilihat lebih adil buat kedua-dua pihak, dan kini ia dalam pertimbangan Kerajaan Persekutuan.


“Saya difahamkan Kerajaan Persekutuan ada formula mereka sendiri, tetapi kita berpegang teguh dengan formula kita kerana ia lebih adil.


“Formula yang dicadangkan Sarawak ini juga berlandaskan kepada revenue yang didapati oleh Kerajaan Persekutuan dari Sarawak,” katanya selepas menghadiri rumah terbuka Hari Krismas Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah di sini, hari ini lapor Bernama. 


Menurutnya formula itu merupakan antara perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang disampaikan Sarawak kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof untuk dipertimbangkan.


Semalam, Fadillah berkata Kerajaan akan mengumumkan beberapa perkara dipersetujui berkaitan MA63 pada 4 Januari depan.


Fadillah dilaporkan berkata buat masa ini jawatankuasa teknikal MA63 sedang meneliti dan memuktamadkan beberapa perkara termasuk penurunan kuasa kepada agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.


Pada 5 Dis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi dipertanggungjawabkan untuk memfokuskan hal ehwal Sabah dan Sarawak terutamanya Perjanjian MA63.

Next Post Previous Post