Anwar: Menteri terlibat rasuah, salah guna kuasa akan dipecat serta-merta

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA—- Mana-mana menteri di dalam Kerajaan Perpaduan yang didapati terlibat dengan budaya rasuah atau salah guna kuasa akan dipecat serta-merta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Anwar menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur sekiranya budaya itu wujud dalam kerajaan pimpinannya.


“Saya sudah beritahu kepada rakan-rakan Jemaah Menteri yang saya pilih, yang pertama, untuk soal tata kelola maknanya tiada rasuah.


Saya juga sudah bercakap dengan ketua-ketua parti komponen, kalau ada semasa pentadbiran saya sebagai Perdana Menteri kes seperti ini (rasuah), saya minta pecat mandat (sebagai menteri) serta merta,” katanya ketika berucap pada Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri Bersama Ulama dan Asatizah di sini semalam.


Menurutnya peringatan itu bukan bersifat politik sebaliknya merupakan keyakinan beliau untuk membebaskan negara daripada rasuah.


Anwar berkata Al-Sultan Abdullah bersama Raja-Raja Melayu juga memainkan peranan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 walaupun dipertikai oleh sesetengah pihak.


Beliau berkata Al-Sultan Abdullah dan beberapa Raja Melayu yang sempat ditemuinya bertitah dari awal mereka tidak mempertikai parti yang memperoleh kerusi terbanyak akan diberikan keutamaan dan mandat untuk mentadbir negara.


“Kemudian ada usaha sambilan untuk dapatkan akuan bersumpah dan ini terus berlaku dalam tempoh yang ditetapkan (Yang di-Pertuan) Agong sehingga dua petang. Jadi, berapa pun jumlah diperoleh dimuktamadkan dalam waktunya.


“Sepertimana dalam perlumbaan, dia boleh potong kita di pusingan pertama, kita potong dia di pusingan ketiga. Tapi yang pentingnya ialah garis penamat. Ternyata saya peroleh jumlah yang besar kerana orang yang beri pengakuan sebelumnya telah menarik balik sebelum dua petang,” katanya.


Perdana Menteri berkata beliau memilih untuk menjelaskan situasi itu selepas diminta oleh Al-Sultan Abdullah bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat terutama berkaitan isu yang boleh menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu.


Usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar akan menjadi antara agenda utama pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang djadual berlangsung selama dua hari bermula 19 Dis ini.


Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen, usul itu adalah yang kelapan di bawah aturan urusan mesyuarat.


Anwar, semasa sidang media sulung selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov lepas, berkata satu usul undi percaya akan dibentang dalam persidangan Parlimen pada 19 Dis ini bagi menamatkan kemelut berhubung soal keabsahan beliau selaku Perdana Menteri ke-10.

Next Post Previous Post