WHO keluar amaran kes Ebola meningkat di Uganda

Terdapat 130 kes yang disahkan, 43 kematian dan 21 kematian mungkin disabitkan dengan penyakit itu di Uganda. Gambar hiasan

KAMPALA—Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Rabu berkata terdapat kebimbangan mengenai penularan Ebola di Uganda susulan kes jangkitan itu semakin meningkat.


“Meskipun kes Ebola semasa dikaitkan dengan kluster yang diketahui, hakikat sebenar bahawa kes itu berlaku di kawasan berkepadatan tinggi mempunyai risiko sebenar penularan dan terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan kesiapsiagaan di negara berhampiran,” katanya kepada pemberita, lapor Bernama.


Tedros berkata terdapat 130 kes yang disahkan, 43 kematian dan 21 kematian mungkin disabitkan dengan penyakit itu, lapor Agensi Anadolu.


Kebimbangan tercetus susulan kemungkinan sekatan pergerakan di Kampala berikutan 17 kes telah dikesan setakat ini.


Minggu lalu, Kementerian Kesihatan Uganda mengumumkan enam kanak-kanak dari tiga sekolah di Kampala disahkan dijangkiti Ebola. Seorang daripada mereka meninggal dunia.


Pengumuman itu mencetuskan panik, dan beberapa pakar menggesa sekatan pergerakan di Kampala untuk membendung penularan.


Pegawai kesihatan menasihatkan Kementerian Pendidikan mempertimbang untuk memendekkan semester bagi sesetengah pelajar demi mengurangkan kesesakan dan meminimumkan risiko penularan.


Ibu bapa menentang langkah itu, dengan alasan menghantar anak-anak lebih awal akan meningkatkan beban kewangan kepada ibu bapa yang baharu selesai membayar yuran sekolah.


Kekurangan vaksin berlesen di Uganda dan penyebaran wabak di Kampala telah meningkatkan kebimbangan kesihatan awam.


Penyakit ini berjangkit melalui kaedah sentuhan dengan pesakit atau terdedah dengan bahan-bahan yang telah tercemar.


Gejala termasuk demam, muntah, cirit-birit, sakit otot, termasuk pendarahan dalaman dan luaran.

Next Post Previous Post