GPS lancar manifesto pada 6 Nov

Abang Johari ketika pengumuman calon GPS bagi PRU15 di sini, hari ini. Gambar Pejabat Premier Sarawak

KUCHING—Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan melancarkan manifesto untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 6 Nov (Ahad) yang menggariskan hala tuju gabungan itu untuk membawa Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.


Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata manifesto itu merupakan komitmen yang akan direalisasikan dan bukan hanya sekadar janji kosong seperti dilakukan parti tertentu, lapor Bernama.



“Orang Sarawak jangan biar pisang berbuah dua kali. GPS akan mempertahankan hak Sarawak termasuk menyelesaikan perkara yang belum selesai di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya semasa berucap pada majlis pengumuman calon GPS bagi PRU15 di sini, hari ini.


GPS dianggotai Parti Pesaka Bumimputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).





Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata GPS telah membuktikan bahawa menteri mereka di peringkat Persekutuan telah berjaya mempertahankan hak-hak negeri itu.


Ini terbukti apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berjaya mengetengahkan isu-isu berkaitan MA63 termasuk membawa pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, katanya.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon pada 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.

Next Post Previous Post