Wanita lesap RM408,928 diperdaya macau scam


KUCHING-- Seorang wanita berusia 45 tahun dari Padawan di sini, kerugian RM408,928 selepas menjadi mangsa penipuan macau scam.


Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Azman Ahmad Sapri berkata, pada 15 Ogos lalu, wanita terbabit dihubungi melalui telefon oleh suspek yang menyamar dari pihak Pejabat Pos Laju di Kuala Lumpur mengatakan mangsa ada barang bungkusan. 


"Suspek memberitahu barang bungkusan terbabit berupa kad pengenalan dan lima kad pengeluaran wang automatik (ATM), suspek mengatakan barang itu tidak boleh dipos dan menyarankan mangsa membuat laporan polis.


"Suspek kemudiannya telah disambungkan ke talian di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan panggilan telah disambut suspek lain yang menyamar sebagai Sarjan Mohd Khairul Hasyim," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, mangsa dikatakan terlibat dengan kes penggubahan wang haram dan waran tangkapan akan dikeluarkan terhadap mangsa.

 

"Beberapa hari selepas itu, mangsa dihubungi Asisten Superintendan Mokhtar 

menggunakan panggilan telefon bagi proses siasatan awal.


"Mangsa seterusnya diminta untuk memindahkan wang yang ada di dalam simpanan kepada juru audit yang akan dilantik oleh pihak mahkamah bagi memastikan tiada penglibatan wang haram di dalam akaun bank mangsa," katanya.


Beliau berkata, mangsa yang panik pada 23 hingga 30 Ogos telah memindahkan duit kepada empat akaun bank suspek sebanyak tujuh kali transaksi berjumlah RM57,940.


"Pada 30 Ogos, mangsa sekali lagi telah dihubungi suspek yang menyamar sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya menggunakan panggilan telefon mengatakan mangsa mempunyai cukai syarikat tertunggak sebanyak RM36,800 selama 15 bulan.


"Mangsa kemudian diarahkan membuat pinjaman di beberapa buah bank bagi membuktikan adakah pengaliran wang itu terlibat dalam penggubahan wang haram," katanya.


Menurutnya lagi,mangsa yang terpedaya telah membuat pinjaman di Bank Rakyat sebanyak RM 200,000, Bank Muamalat sebanyak RM 230,000, Bank Simpanan Nasional (BSN) sebanyak RM 60,000, RHB Bank sebanyak RM 76,000 dan Bank Islam sebanyak RM 95,000.


"Setelah semua pinjaman diluluskan suspek mengarahkan kepada mangsa wang itu perlu dipindahkan kepada beberapa orang juru audit yang dilantik kononnya bagi semakan.


"Mangsa yang telah terpedaya, pada tarikh antara 22 September hingga 14 Oktober telah memindahkan duit kepada tujuh akaun bank suspek melibatkan tujuh kali transaksi berjumlah RM 350,988," katanya.


Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak menerima laporan behubung kes itu semalam.

Next Post Previous Post