Notification

×

Iklan

Iklan

Sarawak peruntuk RM150 juta untuk skim pinjaman bina rumah panjang

| November 11, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-11T12:38:46Z

SIBU— Skim pinjaman perumahan untuk rumah panjang adalah antara inisiatif unik yang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak, bagi membantu penduduk di kediaman sedemikian membiayai kos pembinaannya.


Timbalan Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Awam Sarawak Michael Tiang Ming Tee berkata sejak 2020, kerajaan Sarawak memperuntukkan hampir RM150 juta bagi skim pinjaman dalam bentuk bahan binaan untuk pembinaan atau baik pulih rumah-rumah panjang di negeri itu.


Beliau berkata berdasarkan laporan Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC), RM141.12 juta daripada peruntukan itu telah digunakan bagi 218 projek yang memanfaatkan sebanyak 4,747 pintu rumah panjang.


“Bagi pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan, RM180.23 juta  diperuntukkan melalui Tabung Amanah Skim Pinjaman (2007-2021), dengan RM152.97 juta telah digunakan bagi membiayai 403 projek yang memberi manfaat kepada 9,121 pintu rumah panjang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.


Tiang berkata sebanyak RM29,567,000 telah diluluskan sejak 2018 bagi kegunaan di Bahagian Sibu, yang turut merangkumi kawasan Selangau dan Kanowit, dengan 173 permohonan melibatkan 1,017 pintu rumah panjang.


“Sebanyak 66 daripada jumlah permohonan ini telah diluluskan, sementara baki 107 permohonan masih lagi dalam senarai menunggu,” katanya.


Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg, komited untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan luar bandar dan akan terus melaksanakan pemberian kemudahan yang lebih baik, untuk penduduk kampung dan rumah panjang.


Di bawah Teras kelapan Manifesto Pilihan Raya ke-15, GPS berjanji untuk menambah peruntukan bagi bantuan pembinaan dan baik pulih rumah kampung dan rumah panjang di seluruh Sarawak.


Lily Alang, 47, dari Skim Penempatan Semula Rascom Sekuau di Selangau berkata peruntukan tersebut besar ertinya bagi penduduk di kawasan luar bandar yang kurang berkemampuan.


“Ini sangat-sangat membantu masyarakat rumah panjang yang kurang berkemampuan untuk membina rumah panjang baharu, lebih-lebih lagi mereka yang ditimpa musibah kebakaran,” katanya.


Lily berkata kelulusan projek, memberikan keutamaan kepada mereka yang ditimpa musibah kebakaran atau bencana lain dan tempoh bayaran pinjaman yang panjang dan tanpa faedah, tidak membebankan penerima.


Di Sekuau, sudah ada dua buah rumah panjang menerima pinjaman itu.


Inisiatif ini ialah antara usaha GPS, selain pemberian pinjaman perumahan untuk membantu golongan B40 membeli rumah yang dibangunkan oleh HDC.


Golongan B40 dan M40 juga diberikan Skim Bantuan Deposit Rumah (HDAS) yang memberi bantuan bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus atau sehingga RM10,000, untuk memiliki rumah pertama di bawah Skim Perumahan Mampu Milik.

×
Berita Terbaru Update