Fadillah sekolahkan Sopian tentang manifesto GPS


KUCHING— Manifesto Piliihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertujuan untuk memperjuangkan hak Sarawak agar sama rata dengan negeri lain, kata Datuk Sri Fadillah Yusof.


Fadillah calon GPS Parlimen Petra Jaya, berkata demikian bagi menenangkan kegelisahan calon Pakatan Harapan, Sopian Julaihi yang ragu-ragu dengan tindakan GPS mengemukakan manifesto pada PRU kali ini.



“Manifesto kita sebenarnya memperjuangkan hak Sarawak, kalau menang kesemua 31 kerusi yang dipertandingkan, suara kita lebih baik dan kuat.


Ini penting agar Sarawak dapat mempengaruhi apa saja dasar yang bakal dibentuk di peringkat persekutuan,” terang Fadillah.



Semalam, Sopian mempersoalkan rasional GPS mengemukakan manifesto sedangkan hanya bertanding 31 kerusi berbanding PH yang bertanding di kesemua 222 kerusi parlimen


Menurut Fadillah, tindakan Sopian mempersoalkan manifesto itu jelas menunjukkan dia tidak memahami politik mungkin kerana dia terlalu baharu.



Menurutnya, jika rakyat memilih PH ia bermakna memberi mandat kepada PH Sarawak dan presiden parti itu di peringkat persekutuan.


“Jika sebaliknya memilih GPS, kita dapat mempengaruhi supaya dasar persekutuan itu akan menjadi dasar yang mesra kepada Sarawak, itu maksudnya.


“Sebab itu bila dikatakan pembentukan Malaysia dulu ada tiga wilayah, jadi Sarawak sekarang perjuangan kita memastikan wilayah Sarawak ini sama rata dengan wilayah Malaya.


Justeru kata Fadillah, rakyat jangan terpengaruh kalau ada yang mempersoalkan apa peranan manifesto. 


“Manifesto kita sebenarnya memperjuangkan hak Sarawak,” katanya lagi.


Terdahulu Fadillah yang merupakan penyandang Parlimen Petra Jaya sejak 2004 meluangkan masa bersama belia Satok di Seew Kang Ais Kacang.

Next Post Previous Post