Shafie Apdal dakwa tawar-menawar punca kejatuhan Warisan di Sabah

Kejatuhan kerajaan Parti Warisan di Sabah pada PRN 2020 adalah berpunca daripada budaya tawar-menawar menyaksikan beberapa ADUN melompat ke parti politik lain - Shafie Apdal

LABUAN—Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa kejatuhan Kerajaan Parti Warisan di Sabah pada Pilihan Raya Negeri 2020 (PRN 2020) adalah berpunca daripada budaya tawar-menawar yang membawa kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat ke parti politik lain, dan bukan disebabkan kehilangan mandat rakyat.


“Kenapa ada yang melompat, saya difahamkan ada yang membeli dan ada yang menawar,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada kempen Pilihan Raya Ke-15 di sini malam ini, menurut Bernama.


Bagaimanapun pada PRN 2020 Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) memenangi 38 kerusi DUN dan membentuk kerajaan negeri manakala Warisan Plus (Warisan, DAP, Amanah, UPKO dan PKR) hanya memperoleh 32 kerusi DUN dan baki tiga kerusi DUN Sabah dimenangi calon Bebas. 


Sementara itu Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Membakut, di sini semalam dilaporkan berkata kerajaan yang tidak mendapat mandat rakyat tidak akan bertahan lama.


Hajiji merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendakwa pentadbiran Warisan sebelum ini bukan berdasarkan mandat rakyat tetapi disebabkan ada wakil rakyat yang melompat hingga menyebabkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu jatuh.


Pada 12 Mei 2018 Mohd Shafie dilantik Ketua Menteri Sabah selepas memperoleh majoriti mudah 35 kerusi yang dimenangi  Parti Warisan bersama sekutunya dalam Pakatan Harapan, PKR dan DAP serta enam ADUN daripada BN iaitu empat daripada UMNO dan dua daripada UPKO yang berpaling tadah kepada Parti Warisan.


Bagaimanapun pada 30 Julai 2020 Mohd Shafie mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.


Perkembangan politik di Sabah ketika itu menjadi hangat apabila bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman  mendakwa beliau mempunyai majoriti mudah bagi membentuk Kerajaan Sabah sehari sebelum pengumuman pembubaran DUN .


Ketika itu, DUN Sabah mempunyai 65 kerusi dengan blok kerajaan menguasai 45 kerusi manakala blok pembangkang 20 kerusi.


Blok kerajaan terdiri daripada Warisan (31 kerusi), DAP (6), UPKO (2), PKR (2) dan ADUN dilantik (4), sementara blok pembangkang pula merangkumi Bersatu (9), PBS (4), STAR (3), Bebas (2), UMNO (1) dan ADUN dilantik (1).

Next Post Previous Post