Data SPR bocor, maklumat 800,000 pengundi dijual dalam laman penggodam
ARAU—Dakwaan berlaku kebocoran data pengundi yang tersebar di media sosial, adalah tidak benar kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya mengeluarkan maklumat nama dan nombor kad pengenalan sahaja, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Perkara itu tidak betul mesti ada pihak yang cuba menipu bagi mencari keuntungan dan sehingga kini pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih belum menerima laporan polis.
“Jika ada laporan maka kita akan siasat,” katanya kepada pemberita pada Program Jelajah Perikatan Nasional (PN) di sini hari ini, lapor Bernama.
Beberapa portal hari ini melaporkan berlaku kebocoran pada data SPR dan maklumat 800,000 pengundi dijual dalam laman penggodam.
Portal berkenaan melaporkan seorang penjual memiliki pangkalan data MySPR termasuk swafoto, butiran MyKad dan butiran lain seperti alamat penuh, alamat e-mel, tarikh lahir dan kata laluan.