Kongsi gambar sampul berisi wang di media sosial, SPR digesa ambil tindakan

Fadillah menghadiri Majlis Hi-Tea dan Majlis Kesyukuran bersama Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak Cawangan Astana di sini hari ini.

KUCHING— Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mengambil tindakan berhubung sumbangan yang diterima seorang pengundi daripada calon Bebas yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di sini.


Calon Parti Gabungan Sarawak (GPS) Parlimen Petra Jaya Datuk Sri Fadillah Yusof berkata, beliau difahamkan kes itu sudah dilaporkan kepada pihak polis.



“Saya berharap pihak polis melaksanakan siasatan dan SPR mengambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Hi-Tea dan Majlis Kesyukuran bersama Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) Cawangan Astana di sini hari ini.


Beliau yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengingatkan orang ramai agar mematuhi segala peraturan pilihan raya.


Semalam Borneo Network melaporkan polis membuka siasatan terhadap seorang wanita selepas dia berkongsi gambar menerima wang sumbangan daripada calon Bebas.


Jurucakap Media Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Ibu Polis Kontinjen Sarawak, Superintenden Douglas Nyeging Taong dalam berkata, wanita itu itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998/ Seksyen 10 Akta Pilihan Raya 1954.


"Kertas siasatan telah dibuka di bawah seksyen berkenaan kerana menerima sumbangan berupa wang yang telah diviral dalam aplikasi Facebook, kesalahan iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian/penyogokan, kejadian berlaku di Lundu," katanya. 


Katanya, tindakan individu terbabit satu kesalahan iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan penyogokan. 


Baru-baru ini, seorang wanita memuat naik gambar sampul berisi wang kertas RM50 di media sosial Facebook setelah menerima sumbangan daripada calon Bebas yang bertanding pada PRU15 ini. 


Ekoran kejadian itu, seorang penyokong parti tempatan tampil membuat laporan polis bagi membolehkan pihak polis menyiasat perkara berkenaan yang dikatakan menyalahi undang-undang pilihan raya. 

Next Post Previous Post