Murid Tahun Tiga maut dilanggar pikap ketika lintas jalan
MUKAH—Seorang murid Tahun Tiga Sekolah Rendah Kebangsaan(SK) Sungai Penipah di sini, yang cedera parah di bahagian kepala dan leher selepas dilanggar pikap kelmarin meninggal dunia hari ini.
Kematian mangsa Mohammad Firdaus Jimbat Abdullah,9, beralamat di Kampung Kuala Lama, Mukah, disahkan Pegawai Perubatan Hospital Sibu jam 10.33 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, mangsa dilanggar pikup ketika hendak melintas jalan di Jalan Mukah Balingian hadapan simpang sekolah terbabit jam 1 tengah hari.
"Kemalangan berlaku apabila pikap dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun bergerak lurus dari arah Balingian menuju ke arah Mukah
"Ketika melalui jalan hadapan simpang sekolah itu telah melanggar seorang murid yang melintas jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, akibat kejadian itu murid terbabit mengalami kecederaan parah dan telah dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.
"Pikap yang terlibat telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Mukah untuk pemeriksaan Puspakom
"Rakaman pemandu serta sepupu mangsa yang merupakan saksi kejadian telah diambil," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kes masih dalam siasatan.
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.