Anwar kunci mulut kerjasama dengan GPS

Menurut Anwar, fokus utama parti ialah memastikan kemenangan PH dalam pilihan raya.

KUCHING—Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim tidak berani mengulas kerjasama politik dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana bimbang ia akan mengguris perasaan rakan-rakan dari parti lain.


Beliau berkata, fokus utama parti pada masa ini ialah memastikan kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov ini.


“Sebarang perbincangan berkaitan kerjasama politik termasuk dengan GPS hanya dapat dibuat selepas itu. Menang dulu baru bincang kerjasama,” katanya dipetik FMT semasa sidang media di sini.


Anwar seterusnya menggesa rakyat Sarawak memberi sokongan kuat kepada calon PH dalam PRU15 supaya mereka boleh bekerjasama sebagai satu pasukan “negeri- persekutuan” bagi mempertahankan kepentingan penduduk di negeri itu.


“Ketika ini kita perlukan wakil PH yang kuat di Sarawak dan Sabah. Kita perlukan ini supaya kita boleh mendapat pandangan di akar umbi di kedua-dua negeri,” katanya 


Beliau turut menekankan pentingnya  pengagihan atau penurunan kuasa antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung dan  komitmen untuk menyelesaikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tanpa banyak rundingan.


“Putrajaya harus menghormati Sabah dan Sarawak dengan memberi kuasa kepada mereka untuk menangani isu seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas memandangkan mereka lebih arif keperluan penduduk mereka sendiri.”


Namun katanya, pengagihan atau penurunan kuasa itu perlu berasaskan terma dan syarat yang jelas bagi mengelak pembaziran dan rasuah.


Menurut Anwar, banyak kuasa diberikan golongan elit dan Sarawak tidak terkecuali, maka kerjasama antara persekutuan dengan kerajaan negeri adalah penting.


“Pilihan raya kali ini sangat penting dan kritikal untuk menentukan landskap politik negara.

Next Post Previous Post