Sarawak lulus RUU beri kuasa JPVS tangani rabies


KUCHING— Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kesihatan Awam Veterinar (Pindaan) 2022 untuk memberikan kuasa  Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) dalam memerangi penularan wabak rabies.


Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata selain memberikan fungsi dan tugas kepada mana-mana pegawai awam, rang undang-undang itu juga bertujuan membolehkan kebenaran diberikan kepada orang lain oleh JPVS untuk mengedarkan ubat veterinar.


Beliau berkata wabak rabies di Sarawak bermula pada 2017, apabila kes pertama dalam kalangan manusia dilaporkan di daerah Serian dan sehingga kini, sebanyak 72 kawasan di negeri ini diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan rabies.


Dr Rundi berkata susulan wabak ini, Sarawak menubuhkan Immune Belt Enforcement Team (IBET) baru-baru ini untuk melengkapi dan menyokong JPVS dalam pengawalan rabies dan menjalankan program kesedaran dalam kalangan masyarakat.


“Oleh itu, pindaan ini penting kerana ia memberikan kebenaran kepada kakitangan IBET untuk membantu JPVS mentadbir vaksinasi dan melaksanakan tugas dan fungsi JPVS mengikut undang-undang berkaitan,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu, lapor Bernama.


Sementara itu, ketika membahaskan rang undang-undang berkenaan Lo Khere Chiang (GPS-SUPP) berkata penempatan pegawai IBET dalam membantu JPVS akan memaksimumkan liputan pengesanan dan program pengawasan rabies di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan.


“Disebabkan kekurangan tenaga kerja JPVS, pindaan ini tepat pada masanya dan akan membolehkan IBET membantu JPVS membendung penyakit itu. Kerjasama antara agensi ini akan meningkatkan dan mengukuhkan keberkesanan penguatkuasaan,” katanya.


IBET yang diselia oleh Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) Sarawak mempunyai 108 ahli yang ditugaskan memantau 978 kampung, ladang dan pos kawalan di seluruh Sarawak dan kawasan sempadannya.

Next Post Previous Post