PRU15: Blok Borneo jadikan Sabah, Sarawak berkuasa dalam menuntut hak di bawah MA63


KOTA KINABALU—Blok Borneo dilihat sebagai usaha konkrit serta platform lebih jelas dan kukuh bagi memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak dengan lebih terancang, selain memperkukuh tuntutan dua negeri itu berbanding berjuang secara berasingan.


Penganalisis politik yang ditemui Bernama berpendapat walaupun Blok Borneo itu memperkukuh tuntutan Sabah dan Sarawak terutama melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ia tidak sama sekali menjejaskan hubungan dengan Persekutuan sebaliknya mengukuhkan lagi hubungan itu.


Penyelidik Kajian Elektoral dan Geopolitik Borneo (GeoPes) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Haryati Abdul Karim berkata bagi merealisasikan blok ini, jumlah kerusi ditandingi parti di Sabah dilihat tidak mencukupi untuk membentuk blok bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS).


Beliau berkata sehingga kini GPS belum memberi kata putus membentuk blok bersama mana-mana parti dari Sabah termasuk Parti Warisan (Warisan) yang mendakwa sudah mencapai persefahaman dengan GPS bagi membentuk kerjasama Blok Borneo.


"Soalnya, kewujudan blok ini tidak ada secara rasmi. Sekiranya blok ini benar-benar wujud, ia akan memberi kesan pada dasar dan pembentukan kerajaan negeri yang akan mempunyai kuasa yang lebih kepada bidang yang selama ini dikuasai oleh Persekutuan.


"Dari segi politik, jika Blok Borneo ini difahami dengan betul, ia tidak menjejaskan hubungan Sabah, Sarawak dengan Persekutuan, namun ia juga bermakna secara teorinya perdana menteri boleh datang sama ada dari Sabah atau Sarawak kerana kedua-dua negeri berkedudukan sebagai ‘partner’,” katanya.


Haryati berkata pembentukan blok bukanlah perkara baharu tetapi idea itu dicetuskan oleh Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) lepas apabila parti politik di Sabah dan Sarawak keluar daripada BN sebelum membentuk gabungan masing-masing.


Beliau berkata daripada segi teorinya, Blok Borneo bermaksud parti di Sabah dan Sarawak akan bergabung membentuk satu blok di Borneo sekali gus menjadikan kedua-dua negeri itu berkuasa dalam menuntut hak mengikut MA63.


Katanya melalui blok itu, Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa untuk memastikan kedudukan asalnya sebagai rakan kepada Semenanjung Malaysia dikembalikan dan bukan lagi sebagai antara negeri-negeri di Malaysia.


Penganalisis politik tempatan Musli Oli pula berpendapat pembentukan Blok Borneo di Sabah hanya akan terbentuk apabila bergabung dengan parti yang mempunyai beberapa gabungan seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


Beliau berkata GRS yang terdiri daripada beberapa gabungan parti yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, mempunyai kuasa untuk menentukan setiap keputusan yang dibuat selain mendapat sokongan dan kerjasama daripada BN serta PAS.


"Hajiji mampu mengendalikannya kerana beliau pengerusi GRS, walaupun beliau daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetapi beliau berdiri atas tiket GRS. Jadi, kita boleh katakan GRS adalah yang sebenarnya (boleh membentuk) Blok Borneo, bukan Warisan sebab Warisan hanya parti tunggal," katanya.


Terdahulu sebelum ini, Hajiji dan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilihat positif ketika mengulas mengenai Blok Borneo.


“Terdapat keperluan untuk Sabah dan Sarawak bergabung suara bagi menuntut hak yang termaktub dalam MA63 dan Blok Borneo dilihat satu mekanisma baik ke arah ini. Ia harus dijadikan syarat utama kepada parti nasional yang ingin membentuk kerjasama bersama parti di Sabah dan Sarawak,” kata Musli.

Next Post Previous Post