Polis terima laporan ceramah calon ada tawaran cabutan bertuah

Seorang calon parti politik di Kulai yang didakwa berceramah dalam satu program, Polis terima laporan ceramah calon ada tawaran cabutan bertuah

JOHOR BAHRU— Polis hari ini menerima satu laporan polis berhubung seorang calon parti politik di Kulai yang didakwa berceramah dalam satu program yang menawarkan cabutan bertuah kepada orang ramai, malam tadi.


Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata laporan polis itu dibuat oleh seorang wakil parti politik di Balai Polis Kulai, pada pukul 10 pagi tadi.


“Kita ada terima laporan dan ia telah dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.


 Terdahulu, calon Pakatan Harapan Parlimen Kulai, Teo Nie Ching menerusi kenyataan hari ini mendakwa calon BN Kulai Chua Jian Boon menghadiri satu program bersama masyarakat India di sebuah pusat beli-belah di daerah itu, malam tadi.


Teo mendakwa ceramah yang disampaikan Chua merupakan kempen untuk membeli undi yang mana program itu menjemput 10 artis dan menawarkan 100 hadiah cabutan bertuah termasuk rantai emas dan peralatan elektronik.


Sementara itu, Chua ketika dihubungi membidas dakwaan penyandang kerusi Parlimen Kulai itu dan menjelaskan bahawa beliau hanya memenuhi jemputan dan bukan dianjurkan pihaknya.


Chua bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk membuat siasatan dan akan memberikan kerjasama penuh.


“Saya hadir ke program itu atas jemputan dan hanya singgah sebentar sahaja sebelum pergi lokasi lain malam tadi. 


“Saya juga sudah maklum kepada peguam saya dan kita serahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk siasat serta saya tiada masalah untuk beri kerjasama,” katanya.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.