Sukarelawan M’sia di Singapura bawa balik kira-kira 9,000 undi pos untuk PRU15
Sukarelawan yang terlibat dalam pengumpulan undi pos di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor. Gambar Twitter Undi18 |
SINGAPURA— Sukarelawan Malaysia di bawah naungan 1thirdmedia Movement berjaya membawa balik kira-kira 9,000 undi pos dari Singapura awal pagi ini untuk Pilihan Raya Umum ke-15.
Mereka berganding bahu mengumpul undi pos daripada pengundi Malaysia yang bekerja dan menetap di republik itu sepanjang kempen yang berlangsung selama tujuh hari.
1thirdmedia Movement ialah gerakan yang bekerjasama dengan UNDI18, sebuah gerakan belia Malaysia yang berusaha membawa balik undi pos dari republik itu.
Mereka juga menjayakan usaha yang sama semasa Pilihan Raya Negeri Johor ke-15.
“Perasaan kami sangat lega kerana dapat membawa pulang amanah ini sebelum hari pengundian. Kami berharap undian ini sempat diedarkan ke pusat pengundian di seluruh negara,” kata sukarelawan Farrah Diyana Mohamad Ali kepada Bernama.
Farrah Diyana berkata gerakan itu sanggup dan bersedia untuk membawa pulang undian pos untuk pilihan raya akan datang jika diamanahkan lagi walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.
Kotak-kotak itu selamat tiba sekitar 2 pagi di pusat penyisihan di Kuala Lumpur selepas tamat masa pengumpulan pada 2 petang Khamis di Singapura.
"Gembira.. terharu.. kerana dapat membawa pulang sampul undian ini.
"Ia satu kejayaan buat pasukan kami selepas bertungkus-lumus selama seminggu usaha mengumpul dijalankan," kata seorang lagi sukarelawan, Calvin Ong.
“Ia sangat memenatkan tetapi ia satu misi yang berbaloi demi negara,” kata Ong, 35, yang berasal dari Taiping.
Selepas semua kesusahan, Ong meninggalkan mesej ringkas kepada 21 lebih juta pengundi Malaysia: "keluarlah mengundi".
Menurut Twitter Undi18, terdapat sejuta pengundi Malaysia di luar negara. Ia turut berkongsi beberapa gambar semasa menerima undi dari seluruh dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dengan undi dari China dan Jerman paling awal tiba.
Selain 1thirdmedia Movement, Vote Malaysia dan Global Malaysian Network turut terlibat dalam pengumpulan undi dariada rakyat Malaysia dari seluruh dunia.
Kesemua sampul surat undi akan dibawa ke pusat penyisihan di Kuala Lumpur untuk proses pengasingan bagi 222 kawasan Parlimen dan 117 Dewan Undangan Negeri (DUN), dan kemudiannya dihantar ke negeri-negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
Tarikh akhir kertas undi pos diterima oleh pegawai pengurus Bahagian Pilihan Raya ialah sebelum 5 petang pada hari mengundi.